Kongsi data, maklumat minimumkan ancaman jenayah siber

Perkongsian data akan membolehkan pihak berkuasa menyekat modus operandi pelaku jenayah ini.
Perkongsian data akan membolehkan pihak berkuasa menyekat modus operandi pelaku jenayah ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkongsian data dan maklumat antara negara-negara serta agensi penguatkuasaan undang-undang berhubung kecenderungan jenayah siber adalah penting bagi meminimumkan ancaman siber.

Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Zulkarnain Mohd Yasin berkata, perkongsian data akan membolehkan pihak berkuasa menyekat modus operandi pelaku jenayah ini.

“Pengumpulan maklumat mengenai kecenderungan itu boleh dilakukan antara negara menerusi analisis kes, atau memerhati aktiviti yang mencurigakan di alam siber yang sering berubah dari semasa ke semasa,” katanya semasa berucap di Forum Keselamatan Siber Asean di persidangan Cyber Defence and Security Exhibition and Conference (CYDES) 2021, berlangsung secara maya hari ini.

Sehubungan itu katanya, kolaboratif antara negara-negara perlu diperkukuhkan bagi mengatasi isu batasan data dan maklumat yang ada bagi analisis kecenderungan itu.

Menurutnya, negara-negara yang terlibat dalam kolaboratif perlu menyekat perkara-perkara yang berkaitan dengan isu kecenderungan jenayah serta bersifat ancaman yang tidak diduga.

Sementara itu Zulkarnain berkata, setiap negara berhadapan dengan cabaran dalam mencegah jenayah siber kerana setiap mereka mempunyai undang-undang yang tidak terpakai oleh negara lain.

Jelasnya, perkara itu perlu diselesaikan bagi membantu penguatkuasaan undang-undang dalam kalangan negara-negara, terutama yang melibatkan jenayah rentas sempadan, yang dikenali sebagai jenayah siber.

Persidangan sulung CYDES 2021 dengan tema Embedding Resilience Within Our Cyberspace itu dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NASCA).

Artikel Berkaitan:

Kira-kira 80 pempamer dan 2,500 pelawat perdagangan daripada 12 negara mengambil bahagian dalam CYDES 2021 dari 28 hingga 30 Jun. - Bernama