Agong sekali lagi zahir pandangan Parlimen perlu bersidang segera

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah menghadap daripada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun; Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said serta Datuk Mohd Rashid Hasnon di Istana Negara pada Selasa. Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah menghadap daripada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun; Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said serta Datuk Mohd Rashid Hasnon di Istana Negara pada Selasa. Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Pandangan pembukaan semula Parlimen itu dibuat mengikut garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pandangan Al-Sultan Abdullah itu bagi membolehkan proklamasi darurat dan Ordinan Darurat yang dikeluarkan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat mengikut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah juga bertitah agar Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 meneruskan sesi mesyuarat.

"Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuaratnya bagi melaksanakan mekanisme semak dan imbang untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

"Semasa sesi menghadap tersebut, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin.

"Perlu diperjelaskan juga bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan Istana Negara itu dikeluarkan selepas Al-Sultan Abdullah menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir dalam sesi pertemuan pada jam 11 pagi itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.