X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Pekerja kutipan sisa pepejal maut terhimpit lori, tiang telefon

Lori kompaktor yang terbabit kemalangan di Taman Bukit Mewah, Johor Baru pada Sabtu.
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pekerja am kutipan sisa pepejal maut apabila terhimpit antara lori kompaktor dan tiang telefon semasa bekerja di Taman Bukit Mewah di sini pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir Mohd Rosdee Yaacob berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi semasa pemandu mengundurkan lori kompaktor dan tidak menyedari mangsa yang berusia 35 tahun berada di belakang kenderaan tersebut.

Semasa kejadian, katanya, seorang lagi rakan sekerja mangsa berada di hadapan manakala mangsa berdiri di atas pemijak kaki di belakang lori kompaktor.

"Siasatan awal mendapati pemandu mengundurkan lori kompaktor berikutan beberapa kenderaan awam yang berada di simpang jalan selepas selesai kutipan sisa domestik.

"Semasa mengundurkan lori itu, pemandu dan rakan sekerja yang berada di bahagian hadapan lori terdengar jeritan mangsa dari belakang lori kompaktor tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, mangsa ditemukan terduduk bersandar di tiang telefon dan terdapat kesan serpihan plastik pecah pada lampu signal dan lampu belakang lori di tempat kejadian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir memberi rawatan kecemasan.

"JKKP telah mengarahkan majikan untuk mengambil tindakan serta-merta bagi menyemak semula, menambah baik prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko serta latihan diperlukan kepada pekerja yang terdedah kepada risiko ketika lori kompaktor mengundur.

"JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!