Lapan negeri rekod prestasi ekonomi lebih baik

Prestasi ekonomi bagi semua negeri termasuk Wilayah Persekutuan (WP) mencatatkan pertumbuhan negatif pada 2020.
Prestasi ekonomi bagi semua negeri termasuk Wilayah Persekutuan (WP) mencatatkan pertumbuhan negatif pada 2020.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Prestasi ekonomi bagi semua negeri termasuk Wilayah Persekutuan (WP) mencatatkan pertumbuhan negatif pada 2020, namun lapan negeri merekodkan kadar pertumbuhan yang lebih baik berbanding penyusutan 5.6 peratus peringkat nasional.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lapan negeri tersebut ialah WP Labuan, merekodkan penurunan 0.5 peratus, diikuti Kelantan (-1.1 peratus), Kedah (-1.7 peratus), Pulau Pinang (-2.1 peratus), Perak (-2.3 peratus), Negeri Sembilan (-3.6 peratus), Johor (-4.6 peratus) dan Selangor (-5.3 peratus).

Negeri lain, WP Kuala Lumpur mencatatkan kemerosotan -7.5 peratus, Sarawak (-7.1 peratus), Sabah (-9.5 peratus), Pahang (-5.9 peratus), Melaka (-5.9 peratus), Terengganu (-5.7 peratus) dan Perlis (-6.1 peratus).

“Meskipun pandemik Covid-19 telah memberi impak negatif kepada ekonomi negeri, enam negeri iaitu Selangor, WP Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah kekal sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nasional dengan jumlah sumbangan sebanyak 72.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Prestasi Ekonomi Mengikut Negeri 2020 secara maya pada Selasa.

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2020 adalah yang kedua terendah selepas krisis kewangan tahun 1998 dengan KDNK nasional merekodkan nilai pengurangan sebanyak RM80.4 bilion berbanding 2019.

Berdasarkan perincian mengikut negeri, Selangor mencatatkan pengurangan tertinggi iaitu sebanyak RM18.3 bilion, diikuti WP Kuala Lumpur (RM17.5 bilion), Sarawak (RM9.6 bilion) dan Sabah (RM8.1 bilion).

Katanya, keempat-empat negeri tersebut telah menyumbang 66.7 peratus kepada nilai penyusutan nasional.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, komposisi aktiviti ekonomi yang berbeza mendorong kepada kepelbagaian ciri bagi setiap negeri dan seterusnya memberi impak yang berbeza kepada pertumbuhan ekonomi.

“Secara umumnya, beberapa negeri dilihat menerima impak yang agak mendalam berbanding sebilangan negeri yang mempunyai asas struktur ekonomi yang mampu mengimbangi magnitud kemerosotan seperti di peringkat nasional.

“Pelbagai program pakej rangsangan dan inisiatif telah diumumkan oleh kerajaan termasuk kerajaan negeri bagi membantu kelangsungan perniagaan, mengurangkan tekanan persekitaran perniagaan serta mempercepatkan pemulihan pasaran buruh,” jelas beliau.

Dari sudut KDNK Per Kapita, kesemua 13 negeri dan dua WP mencatatkan penurunan dalam nilai KDNK Per Kapita pada 2020 berbanding 2019.

Bagaimanapun, tujuh negeri mencatatkan nilai KDNK Per Kapita melebihi paras nasional sebanyak RM43,378, iaitu WP Kuala Lumpur (RM120,600), WP Labuan (RM76,792), Pulau Pinang (RM54,718), Selangor (RM51,966), Sarawak (RM48,597), Melaka (RM45,893) dan Negeri Sembilan (RM43,859).

Bagi prospek ekonomi tahun 2021, Ketua Perangkawan berkata, meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka berterusan, keseimbangan antara kepentingan kesihatan dan pemulihan ekonomi dan perniagaan dapat dilaksanakan menerusi pembukaan lebih banyak aktiviti perniagaan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

Berdasarkan Indeks Pelopor pada April 2021, katanya, prestasi ekonomi Malaysia dijangka menggalakkan sekiranya pandemik mereda, sejajar dengan pengukuhan permintaan global apabila kelonggaran ekonomi telah dilaksanakan oleh beberapa negara.

Di samping itu, katanya, penyertaan rakyat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan juga dijangka akan meningkatkan keyakinan perniagaan dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan dalam negara selain menarik minat pelabur asing. - Bernama