X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Dalic sedih gagal bawa Croatia ke suku akhir

Dalic
A
A

PENGENDALI Croatia, Zlatko Dalic mengakui sedih kerana gagal mengemudi The Blazers ke saingan suku akhir Euro 2020 apabila tewas 3-5 kepada Sepanyol di Stadium Parken, Copenhagen pada Selasa.

Menurutnya, biarpun berjaya membuka jaringan menerusi gol sendiri pemain Sepanyol, Pedri pada minit ke-20, selain jaringan lewat dua pemain gantian, Mislav Orsic dan Mario Pasalic bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun dua gol pantas dalam tempoh tiga minit meleburkan impian Croatia untuk ke suku akhir kali ini.

“Saya sedih kerana kami tersingkir daripada Euro kali ini. Saya memohon maaf kepada penyokong yang selama ini memberikan sokongan tanpa jemu kepada kami selama ini.

“Sepanyol adalah pasukan yang hebat dan mereka mampu ‘menghukum’ untuk setiap kesilapan yang anda lakukan.

“Bagaimanapun, peluang yang telah kami lepaskan pada awal separuh masa pertama masa tambahan (rembatan Andrej Kramaric) yang dilihat boleh menjadi penentu kepada (keputusan) perlawanan ini,” katanya.

Perlawanan penuh dramatik pada Selasa menyaksikan Croatia mendahului menerusi jaringan sendiri pemain Sepanyol, Pedri pada minit ke-20, sebelum skuad La Roja itu bangkit menerusi jaringan Pablo Sarabia pada minit ke-38, Cesar Azpilicueta (min-57) dan Ferran Torres (min-76) sebelum dua pemain gantian, Mislav Orsic merapatkan jurang pada minit ke-85 dan Mario Pasalic menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Pemain Croatia bertepuk tangan ke arah penyokong yang memberikan sokongan kepada pasukan tanpa jemu. - Foto EPA
Pemain Croatia bertepuk tangan ke arah penyokong yang memberikan sokongan kepada pasukan tanpa jemu. - Foto EPA

Bagaimanapun, dua jaringan Sepanyol dalam masa tiga minit menerusi Alavaro Morata pada minit ke-100 dan Mikel Oyarzabal (min-103), menutup terus sisa-sisa kebangkitan Croatia pada perlawanan berkenaan.

Sementara itu, pemain tengah Croatia, Nikola Vlasic mengakui, pemain-pemain The Blazers ternyata begitu hampa dan berputus asa setelah tamat perlawanan.

Katanya, setelah menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan, dia sukar mempercayai pasukannya dibolosi oleh dua gol pantas Sepanyol saya sama sekali meranapkan impian mereka untuk ke suku akhir.

“Bila kami menyamakan kedudukan, saya cukup berbesar hati tetapi segalanya hancur setelah dibolosi dua kali dalam tempoh yang sangat pantas.

“Secara keseluruhannya, ia adalah satu kesedihan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!