Nadma pertimbang pengesahan kematian untuk bantuan Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sentiasa mempertimbangkan apa sahaja pengesahan kematian yang dikemukakan bagi permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 Nadma.

Nadma dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan ia termasuk borang permohonan sijil kematian, permit menguburkan atau apa sahaja bentuk dokumen perakuan kematian.

Menurut kenyataan itu, Sekretariat Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 mengambil maklum akan kesukaran untuk mendapatkan sijil kematian sebagai dokumen sokongan permohonan memandangkan operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sepanjang kawalan pergerakan adalah terhad.

“Pemakluman menerusi portal www.nadma.gov.my juga sebelum ini ada menyatakan bahawa walau apa pun pengesahan kematian yang dikemukakan oleh pemohon, pihak sekretariat hanya akan memperakui dan mengesahkan permohonan yang mempunyai rekod data kematian Covid-19 (due and with) melalui portal rekod yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan sahaja,” menurut kenyataan itu.

Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 Nadma merupakan bantuan ‘one-off’ sehingga kadar maksimum RM5,000 yang diberikan kepada waris si mati yang meninggal dunia berkaitan jangkitan virus Covid-19 (kematian akibat Covid-19 atau kematian dengan Covid-19). - Bernama

Artikel Berkaitan: