Jeremiah layak ke Tokyo

Jeremiah Loo. - Foto Bernama
Jeremiah Loo. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Atlet gimnastik artistik negara, Jeremiah Loo Phay Xing melayakkan diri ke Olimpik Tokyo bulan depan, yang turut menjadi penampilan sulungnya di temasya sukan berprestij itu.

Gimnas berusia 23 tahun dari Pulau Pinang itu berkata, beliau seakan tidak percaya sebaik menerima khabar gembira itu bahawa beliau akhirnya akan membuat penampilan pada temasya sukan itu yang diimpikan selama ini sejak menjadi gimnas.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada banyak pihak yang bersama-sama dengan saya sepanjang perjalanan ini untuk menjadikannya satu realiti... membantu (saya) untuk sampai ke tahap ini, tidak mungkin ia berlaku tanpa anda semua,” katanya menerusi klip video kepada Bernama.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariany Nasril dalam kenyataan lewat malam Isnin, mengesahkan slot dalam acara all-around lelaki yang akan disertai Jeremiah dalam sukan itu.

Afrita Ariany berkata, kejayaan Jeremiah dalam melayakkan diri ke Tokyo adalah berdasarkan keputusan penyertaannya dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Dengan penyertaan ini, Malaysia kini mempunyai 24 atlet daripada lapan jenis sukan termasuk ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang akan beraksi di Tokyo, selain beberapa atlet lagi yang menunggu keputusan kelayakan.

Jeremiah juga menjadi gimnas lelaki kedua negara membuat kemunculan di Olimpik selepas sejarah dilakar Ng Shu Wai yang layak ke Sukan Olimpik Athens, Greece pada 2004.

Pada Sukan Asia di Indonesia 2018, Jeremiah menamatkan saingan dalam acara all-around lelaki pada kedudukan ke-14 dan berada di tempat keenam dalam acara kekuda pelana lelaki pada Sukan SEA Filipina 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda yang menyaksikan beliau fokus kepada proses pemulihan kecederaan bahunya sepanjang 2020.

Artikel Berkaitan:

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos. - Bernama