X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi Selasa.
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi Selasa berikutan harga minyak merosot dengan kebimbangan bahawa penularan varian Covid-19 Delta akan mengurangkan permintaan terhadap bahan api, kata penganalisis.

Pada jam 9.03 pagi, unit tempatan susut kepada 4.1470/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1445/1495 semasa ditutup pada Isnin.

Pada masa ini, penanda aras minyak mentah Brent berkurangan 0.17 peratus kepada AS$74.55 setong.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, harga minyak mentah Brent merosot sebanyak 1.9 peratus semalam berikutan kebimbangan bahawa penularan varian Covid-19 di Eropah dan Austria akan menyebabkan kurang perjalanan, yang memberi tekanan kepada harga minyak.

Beliau berkata, peniaga minyak turut kekal tidak memasuki pasaran menjelang keputusan pada minggu ini oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya mengenai tahap pengeluaran minyak mentah.

“Bagaimanapun, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion yang diumumkan oleh kerajaan akan mengurangkan penurunan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, kerajaan melancarkan Pemulih terdiri daripada suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion, bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dan memberi tumpuan kepada tiga fokus utama.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga fokus utama itu ialah Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Berbanding pound, ia meningkat kepada 5.7490/7531 daripada 5.7700/7769 semasa ditutup pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.9432/9468 daripada 4.9481/9541 sebelum ini.

Unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0867/0892 daripada 3.0865/0906 semalam dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7523/7550 daripada 3.7439/7484 sebelum ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!