Pemulih bukti kerajaan ambil berat semua lapisan: Srikandi

Rina Harun
Rina Harun
A
A
A

SHAH ALAM - Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin membuktikan kerajaan mengambil berat dan mengambil kira bantuan kepada semua lapisan masyarakat.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun berkata, antara perkara utama dibangkitkan rakyat telah dipenuhi kerajaan iaitu moratorium automatik selama enam bulan bagi membantu peminjam individu dari B40, M40, T20 dan usahawan mikro.

"Kerajaan juga memperkenalkan i-Citra di mana penyumbang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mengeluarkan RM1,000 setiap bulan selama lima bulan dari simpanan mereka bagi membiayai kehidupan mendesak ketika ini," katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan juga mengembangkan bantuan dan peluang perniagaan secara digital untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneruskan perniagaan mereka.

Beliau berkata, lebih banyak peluang pekerjaan akan dicipta melalui pakej Pemulih yang akan memberi peluang kepada anak muda dan wanita untuk bekerja.

Menurutnya, Srikandi bersyukur kerana kerajaan juga prihatin dengan tidak mengenepikan kesan psikologi, tekanan mental dan emosi yang melanda rakyat.

”Bantuan Talian Kasih dan psiko-sosial diperuntukkan melalui badan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani isu sosial, mental, gelandangan di semua peringkat komuniti akan dapat meredakan tekanan yang dihadapi oleh ketua keluarga, wanita dan anak-anak," katanya.

Tambah Rina, bagi pakej Pemulih, Srikandi bersedia memainkan peranan aktif membantu kerajaan dari segi menyediakan khidmat psiko-sosial, latihan perniagaan secara dalam talian, sokongan dan gerak kerja kemasyarakatan untuk mengembalikan semangat dan memberi dorongan kepada rakyat agar dapat kembali hidup sejahtera.

Artikel Berkaitan:

"Sekali lagi Srikandi mengucapkan penghargaan tidak terhingga kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus berpegang kepada janji dan sentiasa prihatin menjaga kesejahteraan rakyat sejak memegang tampuk pemerintahan.

"Sesungguhnya, ujian yang begitu getir ini, memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak agar kita dapat keluar dari pandemik ini," katanya.