X

Kindly register in order to view this article
!

Implikasi kemasukan PATI

Sempadan Malaysia-Thailand merupakan kawasan panas yang diguna oleh penjenayah bagi mendapatkan bekalan senjata api haram.
A
A
TAHUN ini memperlihatkan Jabatan Imigresen Malaysia berhempas pulas menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan melancarkan pelbagai operasi untuk mengesan dan mengenal pasti kewujudan mereka di serata tempat.

Sejak Januari tahun ini sahaja, hampir 600 PATI ditahan di Semenanjung Malaysia.

Dari segi keselamatan dan pertahanan negara, trend itu amat membimbangkan. Umum mungkin menganggap kehadiran PATI hanyalah untuk memenuhi kehendak sektor-sektor tertentu khususnya bagi tujuan buruh perladangan dan pembinaan.

Hakikatnya, sebahagian PATI ini berjaya masuk ke Malaysia menggunakan laluan haram dan tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit sah. Apa yang tidak diketahui adalah selain membawa ‘badan’ sendiri ketika menyusup masuk ke negara ini, apakah mereka juga membawa sesuatu yang lebih berbahaya?

Hari ini dadah sintetik dan daun ketum kerap cuba diseludup keluar dari kilang-kilang memproses dadah di bandar-bandar besar serta ladang haram pokok ketum di kampung-kampung. Apa yang tidak diketahui – apakah produk yang dihajatkan oleh penjenayah negara ini dari negara-negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia?

Produk yang amat membimbangkan dibawa masuk secara haram adalah senjata api. Jenis senjata api seludup yang paling kerap dirampas pihak berkuasa adalah dalam kategori senjata ringan seperti senapang patah, pistol dan raifal, selain peluru.

Mempunyai saiz kecil, ringan dan mudah disorok, tidak hairanlah jika ia mendapat banyak permintaan. Sempadan Malaysia-Thailand merupakan kawasan panas yang diguna oleh penjenayah bagi mendapatkan bekalan senjata api haram.

Kawasan dikenal pasti menjadi tumpuan utama ialah Perlis, Perak dan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand. Ia termasuklah kawasan seperti Bukit Kayu Hitam-Danok, Pengkalan Hulu-Betong dan Pengkalan Kubor-Rantau Panjang.

Isu penyeludupan dan penggunaan senjata api mendapat tumpuan masyarakat apabila seorang anggota Pasukan Gerakan Am ditembak mati pada penghujung 2020 ketika bertempur dengan penyeludup di sempadan Perlis-Thailand.

Selepas insiden itu, umum mengharapkan agar agensi terbabit dalam pengawasan dan pengawalan sempadan dapat memperketat kawalan infrastruktur fizikal memisahkan sempadan disenggara lebih kerap, selain pemasangan sistem pengawasan elektronik moden.

Pada Mei tahun ini, gabenor wilayah Sadao Thailand, Jurawat Klingklao menyatakan pihaknya telah menjumpai tujuh lokasi penyeludupan di sepanjang sempadan 85 kilometer antara wilayah beliau dengan Perlis dan Kedah.

Antara cara penyeludup membolosi pagar sempadan adalah dengan memotong pagar, meletakkan papan sebagai jambatan dan ada yang menggali lubang atau terowong di bawah pagar.

Beliau juga mengakui walaupun pihak berkuasa Thailand mengadakan rondaan dan kawalan, bukti menunjukkan masih ada berjaya memboloskan diri. Aliran pencerobohan dan penyeludupan menurut beliau lagi adalah dua hala.

Kita perlu ingat bahawa longgokan dan pemilikan senjata api di Thailand amat tinggi. Menurut laporan pada 2018 oleh World Arms Survey yang berpangkalan di Geneva, Switzerland, pemilikan senjata api berdaftar bagi penduduk Thailand ialah 15 laras senjata api bagi setiap 100 individu, berbanding Malaysia, hanya 0.7 bagi setiap 100 individu!

Tekanan akibat pandemik terhadap sumber ekonomi dan kewangan di negara jiran seperti Thailand dan konflik berdarah di Myanmar mampu menjadi pencetus kepada aktiviti pembekalan senjata api secara haram, seterusnya merancakkan aktiviti penyeludupannya.

Harus diingat bahawa ketika Amerika Syarikat meninggalkan Vietnam Selatan pada 1975, ia turut meninggalkan sejumlah 90,000 pistol, 857,580 raifal M16 dan 15,000 mesingan di negara tersebut. Terdapat bukti senjata api era perang Vietnam ada yang berjaya diseludup masuk dari Thailand dan telah pun diguna bagi kegiatan jenayah di Malaysia.

Pihak berwajib perlu beringat sebelum kena dan seharusnya mempunyai sistem bersepadu dalam menangani isu PATI di sempadan negara.

Apakah kita masih kekurangan sumber, walhal PDRM dan Agensi Kawalan Sempadan, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Briged Sempadan Tentera Darat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah pun dipertanggungjawabkan untuk menangani masalah tersebut.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!