Vaksinasi mampu sekat penularan varian baharu

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat jangkitan varian baharu Covid-19 itu di negara ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat jangkitan varian baharu Covid-19 itu di negara ini.
A
A
A

VARIAN baharu Covid-19 dilaporkan semakin mengganas dan mengakibatkan jumlah kes kematian yang tinggi.

Seperti negara-negara lain, Malaysia turut tidak terkecuali apabila varian itu telah mula dikesan sejak akhir-akhir ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menafikan ia telah menular secara meluas dalam komuniti di semua negeri di negara ini.

Untuk langkah keselamatan, semua pihak perlulah mengambil serius situasi berkenaan kerana varian baharu mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi.

Gelombang Covid-19 kali ini dipercayai adalah lebih bahaya berbanding gelombang sebelumnya. Setakat hari ini, varian berkenaan telah dikesan di Afrika Selatan, United Kingdom, India, Nigeria dan Filipina.

Ia membabitkan varian yang membimbangkan sekarang terutama empat yang kini berleluasa dan varian peringkat kedua yang kini sedang dikesan.

Keempat-empat varian itu ialah Varian B.1.1.7 Britain dikenali sebagai 'Alpha’, manakala varian Afrika Selatan B.1.351 ialah 'Beta’, sementara varian P.1 Brazil dikenali sebagai 'Gamma’.

Varian B.1.617 India pula diasingkan kepada dua kategori, dengan B.1.617.2 sebagai varian membimbangkan, disebut sebagai 'Delta’ manakala sedang varian B.1.617.1 pula dikenali sebagai 'Kappa’.

Artikel Berkaitan:

Terdapat tiga varian yang membimbangkan di Malaysia iaitu 62 kes varian ‘Beta’, lapan kes bagi varian ‘Alpha’ dan dua kes varian ‘Delta’.

Punca pandemik Covid-19 masih gagal disekat secara berkesan sehingga hari ini sudah tentunya mempunyai kaitan rapat dengan kemunculan varian baharu itu.

Ketika kerajaan berusaha memastikan 80 peratus penduduk menerima suntikan vaksin, pada masa yang sama penularan varian baharu amat cepat terutama di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Mempercepatkan vaksinasi di seluruh negara adalah satu-satunya langkah memerangi varian baharu yang dikatakan merebak 2.5 kali ganda lebih cepat dan mudah berbanding sebelum ini.

Kesedaran amat diperlukan dengan mendapatkan vaksin segera supaya kita dapat mencapai imuniti kelompok.