Switzerland benam ego Perancis

Pemain Switzerland meraikan kejayaan mara ke saingan suku akhir Euro.
Pemain Switzerland meraikan kejayaan mara ke saingan suku akhir Euro.
A
A
A

SWITZERLAND melakar kejutan mara ke saingan suku akhir Euro 2020 selepas menyingkirkan juara dunia, Perancis 5-4 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 sepanjang 120 minit perlawanan di National Arena, Bucharest pada awal pagi Selasa.

Penjaga gol Switzerland, Yann Sommer menjadi wira pasukan itu apabila menyelamatkan sepakan penalti kelima Perancis yang diambil oleh Kylian Mbappe sekali gus menempah pertemuan dengan Sepanyol di peringkat suku akhir.

Dalam aksi penuh dramatik itu, Switzerland membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi tandukan Haris Seferovic untuk meletakkan pasukan itu mendahului sepanjang tempoh 45 minit pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Vladimir Petkovic itu berpeluang untuk menggandakan kedudukan apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti selepas Steven Zuber dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-55.

Namun, penjaga gol Perancis, Hugo Lloris bertindak cemerlang menafikan sepakan Ricardo Rodriguez yang sekali gus menghidupkan peluang kebangkitan buat skuad The Blues.

Karim Benzema menyamakan kedudukan buat Perancis selepas tenang menyudahkan hantaran Mbappe pada minit ke-57 sebelum penyerang Real Madrid itu meletakkan Perancis di hadapan menerusi gol kedua pada minit ke-59.

Paul Pogba kemudiannya menambah gol ketiga Perancis menerusi jaringan jarak jauh menarik daripada luar kotak penalti pada minit ke-75.

Bagaimanapun, Switzerland yang hadir sebagai pasukan bukan pilihan tidak mahu mengalah dengan turut bangkit merapatkan kedudukan sekali lagi menerusi jaringan Seferovic pada minit ke-81.

Artikel Berkaitan:

Ketika perlawanan seakan-akan memihak kepada Perancis, pemain gantian, Mario Gavranovic muncul penyelamat buat Switzerland melalui gol penyamaan pada penghujung perlawanan.

Gol kemenangan yang dicari masih tidak berjaya diperoleh kedua-dua pasukan dalam 30 minit masa tambahan sekali gus memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.