Padah cuba rasuah polis RM50, lelaki dikompaun RM5,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki ditahan dan dikenakan kompaun RM5,000 selepas cuba memberi rasuah kepada anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor, di sini pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 41 tahun itu menawarkan wang RM50 kepada salah seorang anggota polis untuk melepaskan diri kerana tidak memiliki dokumen kebenaran merentas negeri daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, lelaki yang menunggang motosikal jenis Kawasaki 250 ditahan di sekatan jalan raya untuk pemeriksaan.

"Ketika polis meminta dokumen merentas negeri, lelaki tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen.

"Dia kemudiannya memberi wang sogokan RM50 yang diletakkan dalam lipatan surat dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di bawah nama sebuah syarikat bertarikh 13 Januari lalu.

"Anggota polis tersebut memberi amaran dan menolak wang sogokan itu sebanyak tiga kali sebelum menahan lelaki tersebut dan merampas sebuah telefon bimbit, surat MITI dan wang tunai RM50," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Katanya, lelaki yang bekerja sendiri itu dibawa ke Balai Polis Tasek Gelugor untuk tindakan selanjutnya.

"Lelaki tersebut mengaku telah cuba memberi wang RM50 kepada anggota polis di sekatan jalan raya agar dilepaskan.

Artikel Berkaitan:

"Dia yang tinggal di Padang Serai, Kedah ingin ke Kampung Selamat dipercayai untuk urusan peribadi.

"Sehubungan itu, dia dikompaun sebanyak RM5,000 menurut Peraturan 4(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 3) 2021 kerana merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa," katanya.

Tambahnya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.