Ku Li zahir kebimbangan dengan kes bunuh diri

Tengku Razaleigh ketika membuat ulasan serius isu negara dan melancarkan Petisyen Rakyat Desak Segerakan Sidang Parlimen Sebelum Tamat Darurat menerusi Facebooknya pada Isnin.
Tengku Razaleigh ketika membuat ulasan serius isu negara dan melancarkan Petisyen Rakyat Desak Segerakan Sidang Parlimen Sebelum Tamat Darurat menerusi Facebooknya pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes kematian akibat bunuh diri di Malaysia lebih membimbangkan ketika ini berbanding dengan kematian akibat Covid-19.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kes kematian akibat bunuh diri menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, situasi itu jelas memperlihatkan rakyat ketika ini sedang berdepan dengan kesukaran hidup susulan pandemik Covid-19.

"Akhir-akhir ini jumlah orang bunuh diri sudah meningkat daripada puluhan kepada ratusan. Ini yang membimbangkan kita. Kita dalam Islam tidak fikir orang Islam akan membunuh diri tetapi kalau bunuh diri (berlaku) barangkali orang itu yang tidak siuman, tidak boleh membuat pemikiran sendiri sebab itu dia mengambil nyawa dia sendiri tetapi ini jarang-jarang berlaku.

"Tetapi jumlah yang kita dapat tengok dalam laporan yang dikeluarkan menakutkan kita. Ini semua (kes bunuh diri berlaku) oleh kerana mereka tidak yakin dengan apa yang disusun atur oleh pihak pemerintah.

"Kita bimbang kalaulah tidak cepat-cepat bertindak untuk mengawal perasaan ini dan mengubati mereka yang sakit jiwa, saya rasa takut ia merebak dengan lebih luas," katanya ketika membuat ulasan serius isu negara dan melancarkan Petisyen Rakyat Desak Segerakan Sidang Parlimen Sebelum Tamat Darurat menerusi Facebooknya pada Isnin.

Menurutnya, trauma yang dirasai rakyat khususnya golongan muda terhadap pandemik Covid-19 ini akan meninggalkan kesan buruk kepada negara.

Jelasnya, jika perkara itu tidak ditangani segera ia dibimbangi akan memberi kesan kepada usaha untuk memulihkan negara terutamanya dalam ekonomi.

Artikel Berkaitan:


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)