APM penanda aras semangat kesukarelaan: Tun M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi di Jalan Ayer Hangat hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi di Jalan Ayer Hangat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjadi penanda aras terhadap semangat kesukarelaan di negara ini.

Beliau berkata, sehubungan itu anak muda digalakkan menyertai APM kerana semangat kesukarelaan mampu membentuk sikap yang baik.

"Antara lain sikap bertanggungjawab, tidak mementingkan diri, berani, berdisiplin, setiakawan dan berdikari dapat dipupuk.

"Ini akan membentuk anak-anak muda yang mempunyai kesedaran dan jati diri dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir buruk, sebaliknya boleh mempengaruhi teman mereka dengan sifat mulia dinyatakan tadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Speaker DUN Kedah merangkap ADUN Ayer Hangat, Kolonel Kehormat (PA) Juhari Bulat; ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad; Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab dan Pengarah APM Kedah Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub.

Dalam ucapan itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut berkongsi pengalaman semasa remaja menyertai Civil Defence Corps yang berfungsi sekitar awal tahun 1950-an.

"Tujuan saya berkongsi pengalaman saya yang sedikit di dalam perkhidmatan seperti APM ialah saya sedar akan bahaya yang dihadapi anggota APM apabila menjalankan tugasan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin bahaya itu tidak dihadapi setiap masa tetapi adakalanya ia akan begitu mencabar," katanya.

Dr Mahathir turut menyatakan komitmen kerajaan untuk terus memberi sokongan dan bantuan dalam bentuk kewangan atau dana serta juga peralatan kepada APM.

"Kita mahu APM mempunyai kelengkapan yang setimpal dengan usaha dan tugasan yang mereka lakukan. Selain itu, APM membuktikan bahawa ia salah satu badan yang berjaya menarik keanggotaan pelbagai kaum dan menjadikan ia satu model kerjasama baik antara kaum di dalam negara.

"Ini amat penting kerana apabila menghadapi kesukaran, kecemasan dan bencana, kerjasama semua kaum amat penting terutamanya di dalam membina kembali tempat yang dilanda bencana," katanya.

Pada majlis yang sama, Dr Mahathir turut melancarkan manual Prosedur Tetap Operasi (PTO) Penyelamat Pantai APM.

Sementara itu, Kompleks APM Daerah Langkawi bernilai RM25.5 juta dirasmikan berkenaan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk asrama dan menara latihan setinggi enam tingkat.

Bangunan itu dibina di atas tanah seluas 1.16 hektar dan siap sepenuhnya pada 13 Jan lalu iaitu kira-kira tiga tahun selepas pembinaan bermula pada 18 Jan 2016. - Bernama