PKPD di enam lokaliti di Sabah bermula Rabu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di enam lokaliti di Sabah, tiga lokaliti di Selangor dan dua lokaliti Sarawak serta satu lokaliti di Pahang mulai 30 Jun sehingga 13 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Sabah melibatkan Linukaan di Kota Marudu; Timbagan Matunggong; Perpaduan Gumpa dan Perpaduan 2 di Kudat; Rumah Pekerja Ladang Sungai Balung di Tawau, Kuarters Kilang Bata Kampung Durok di Kampung Limbawan Sayur Keningau serta Kampung Pondo, Pulau Gaya di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, PKPD di Sarawak pula membabitkan Kampung Tematu, Jalan Batu Kitang di Kuching dan Kuarters Pekerja Ladang Mukah 1, Sarawak Plantation Agriculture Development Sdn Bhd (SPAD) di Mukah.

"Di Selangor membabitkan Taman Murni di Sepang dan CLQ Johan Setia, Kampung Johan Setia di Klang serta Pangsapuri Seri Ayu, Seksyen 4 di Bandar Baru Bangi dan di Pahang membabitkan Flat Taman Benus Jaya di Bentong.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut serta menjalankan pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin," katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau turut mengumumkan pelanjutan PKPD selama 14 hari di dua lokaliti di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak dan di Asrama Pekerja Warga Asing, Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak, Johor bermula 30 Jun sehingga 13 Julai depan.

"KKM telah melakukan 278 ujian saringan dan 134 daripadanya disahkan positif Covid-19 di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak manakala di Asrama Pekerja Warga Asing, Jalan Rivera pula 691 ujian saringan telah dilakukan dan 464 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, KKM juga mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, sebanyak tiga lokaliti yang dikenakan PKPD di Sabah sebelum ini ditamatkan lebih awal iaitu PKPD di Grace Villa Condo, Sembulan di Kota Kinabalu, Kampung Perpaduan, Pulau Banggi di Kudat dan di Kampung Pengaraban di Kudat yang berakhir pada Isnin.