Janji tetap ditunaikan: Osman

Osman bertanya sesuatu kepada penerima skim Jauhar Prihatin di Bandar Tiram.
Osman bertanya sesuatu kepada penerima skim Jauhar Prihatin di Bandar Tiram.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menyangkal dakwaan kononnya tidak komited dalam melunaskan janji menyediakan kediaman kepada rakyat yang dibuat ketika berkempen pada PRU14.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, kerajaan negeri sememangnya menyatakan komitmen untuk menjaga kepentingan rakyat Johor yang memberikan kepercayaan kepada PH.

"Ada yang mendakwa Kerajaan PH lupa atau tidak komited untuk melunaskan janji-janji yang dibuat sewaktu berkempen dahulu iaitu salah satunya membina 100,000 Rumah Mampu Biaya menjelang 2023. Dakwaan ini tidak benar," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengundian Unit Jauhar Prihatin Rumah Pangsa Seri Baiduri (RTO 05), Bandar Tiram dekat Ulu Tiram di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Sr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Mohd Noorazam Osman.

Osman berkata, sewaktu pembentangan Belanjawan Johor 2019, beliau ada mengumumkan hasrat mereformasikan sektor perumahan dengan menggariskan 15 titik fokus.

"Antaranya dengan menetapkan 40 peratus komponen perumahan mampu biaya bagi setiap kawasan pembangunan oleh pemaju swasta.

"Malah kerajaan negeri juga menaikan kadar cas gantian kepada pemaju yang tidak membina Rumah Mampu Biaya daripada RM40,000 kepada RM60,000 seunit, selain skim sewa beli Jauhar Prihatin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya mempunyai perancangan mampan dalam memenuhi kehendak rakyat terutama dalam memiliki kediaman sendiri.

Katanya, bagaimanapun perkara itu sukar dilakukan sekiranya tidak mendapat kerjasama dan komitmen daripada pihak-pihak lain.

"Oleh itu, saya menyeru kepada pihak pemaju dan agensi terlibat untuk sama-sama menghayati aspirasi rakyat yang menaruh harapan tinggi untuk melihat agenda transformasi yang telah digariskan oleh kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat," katanya.