Norma siber PBB bantu halang konflik

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penerimagunaan norma siber Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara sukarela boleh mengurangkan risiko terhadap keamanan, keselamatan dan kestabilan antarabangsa, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penerimagunaan norma oleh negara-negara anggota PBB akan membantu menghalang konflik dalam persekitaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial global.

“Norma mencerminkan harapan komuniti antarabangsa, menetapkan standard untuk tingkah laku negara yang bertanggungjawab dan membolehkan masyarakat antarabangsa menilai aktiviti dan niat negara (anggota).

"Mungkin ASEAN dapat menjadi juara dalam melaksanakan semua norma ini," katanya ketika merasmikan Forum Keselamatan Siber ASEAN di Persidangan dan Pameran Pertahanan dan Keselamatan Siber 2021 (CYDES 2021) yang diadakan secara maya pada Isnin.

Ismail Sabri berkata, pemimpin ASEAN komited untuk memperkukuh keyakinan dan membangun langkah-langkah dalam melindungi ruang siber dengan setuju untuk mengiktiraf dan melaksanakan norma tersebut.

Sebelas norma sukarela, tidak terikat PBB itu merupakan standard yang dicadangkan kepada negara-negara mengenai cara untuk mengurus di ruang siber, bertujuan untuk mencegah konflik antara negara-negara dalam persekitaran ICT dan menyumbang kepada penggunaannya secara aman.

Beliau berkata, kolaborasi dan kerjasama global termasuk perkongsian maklumat dan pengetahuan, serta kerjasama dan penguatkuasaan antarabangsa sangat penting untuk menangani ancaman siber yang berkembang.

Oleh itu, beliau berkata, mengadakan dialog dan forum berkala untuk membincangkan keselamatan siber dapat membantu setiap negara anggota ASEAN mencapai kata sepakat serta pemahaman bersama dalam menguruskan masalah keselamatan siber serantau.

Artikel Berkaitan:

“Malah, kenyataan pemimpin ASEAN mengenai kerjasama keselamatan siber telah mengakui bahawa keselamatan siber adalah isu rentas yang memerlukan kepakaran yang diselaraskan dari pelbagai pihak berkepentingan.

"Lebih baik jika negara-negara Anggota ASEAN dapat bekerjasama secara berterusan dalam berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam mengurus domain siber," katanya.

Di samping itu, Ismail Sabri berkata, adalah penting bagi setiap inisiatif yang dijalankan oleh negara-negara anggota ASEAN diselaraskan dengan inisiatif antarabangsa untuk membina kepercayaan dan keyakinan di peringkat global.

CYDES 2021 yang julung kali diadakan bertemakan ‘Embedding Resilience Within Our Cyberspace’ dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Kira-kira 100 peserta pameran dan 2,500 pelawat perdagangan dari 10 negara mengambil bahagian dalam CYDES 2021 yang berlangsung dari 28 hingga 30 Jun. - Bernama