Lelaki maut disyaki dibaham buaya

Perahu mangsa yang ditemui terbalik di Sungai Matamba, Silabukan, Lahad Datu.
Perahu mangsa yang ditemui terbalik di Sungai Matamba, Silabukan, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Seorang lelaki maut disyaki dibaham buaya selepas hanya sebahagian anggota badannya ditemui di Sungai Matamba, Silabukan.

Mayat lelaki berusia 34 tahun itu ditemui penduduk kampung pada Ahad sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak bomba.

Difahamkan, mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas di sungai itu sejak Sabtu lalu dan ditemui sehari kemudian dalam keadaan sebahagian anggota badannya hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian sebuah bot karam pada jam 11.50 malam Sabtu.

"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan keesokan paginya dengan bantuan orang awam serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sepanjang Sungai Matamba iaitu lokasi perahu mangsa ditemui terbalik.

"Kawasan pencarian meliputi jarak sepanjang hampir 25 kilometer namun mangsa masih gagal ditemui," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Katanya lagi, usaha mencari mangsa ditangguhkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan sebelum anggota bergerak ke balai bomba manakala penduduk kampung meneruskan pencarian.

"Pada jam 6.04 petang semalam (Ahad), anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Silabukan menghubungi balai bomba dan memaklumkan mangsa sudah ditemui oleh penduduk kampung berdekatan dengan perahu mangsa yang ditemui terbalik.

Artikel Berkaitan:

"Susulan penemuan itu, anggota bomba ke lokasi dan mangsa terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan jam 7 malam," katanya.