Selangor kekurangan vaksin bukan kapasiti, jumlah PPV

Kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor pada Isnin.
Kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menafikan dakwaan bahawa negeri itu mengalami kekurangan kapasiti dan jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sehingga 27 Jun, kerajaan Selangor telah memberi 954,051 dos suntikan daripada jumlah 1,189,350 dos vaksin yang diterima dari kerajaan Persekutuan.

“Masalah yang dihadapi di negeri Selangor ketika ini adalah kekurangan bekalan vaksin, bukan kapasiti mahupun jumlah PPV. Mengikut semakan rekod, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerima 1,189,350 dos setakat 27 Jun. Jumlah yang telah diagihkan pula adalah sebanyak 954,051 dos.

“Justeru, dos semasa dalam simpanan berbaki sekitar 20 peratus iaitu sebanyak 235,277 unit dos. Bekalan ini dijangka bertahan hanya untuk dua hari lagi sekiranya proses ini dijalankan pada kapasiti penuh PPV.

“Dengan 73 PPV di seluruh Selangor ketika ini, penting dinyatakan bahawa kapasiti vaksinasi harian keseluruhan PPV di Selangor adalah 87,616 orang. Namun, dengan jumlah bekalan sedia ada, kadar suntikan harian adalah 53,037 orang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, usaha pemberian vaksin di Selangor terlalu perlahan.

Tambah Khairy, pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan kapasiti di Selangor dengan membuka lebih banyak PPV di negeri tersebut dengan harapan dapat meningkatkan lagi kadar pemberian vaksin.

Menurut Siti Mariah, apabila PICK digandingkan dengan Program Vaksin Selangor, negeri ini akan mencapai sasaran pemberian vaksin harian yang ditetapkan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) iaitu masing-masing 135,000 dan 165,000 kadar vaksinasi harian menjelang Julai dan Ogos.

Artikel Berkaitan:

“Difahamkan hari ini (Isnin) JKNS akan menerima sekitar 60,000 unit dos lagi dan kerajaan negeri mengucapkan terima kasih,” ujarnya.