Lelaki hilang ketika kutip siput ditemukan lemas

Mayat lelaki warga Thailand yang dikhuatiri hilang ketika mencari siput di pantai Pasir Berdengung, Langkawi ditemukan lemas kira-kira jam 11 pagi, Isnin.
Mayat lelaki warga Thailand yang dikhuatiri hilang ketika mencari siput di pantai Pasir Berdengung, Langkawi ditemukan lemas kira-kira jam 11 pagi, Isnin.
A
A
A

LANGKAWI - Seorang lelaki warga Thailand yang dikhuatiri hilang ketika mencari siput di pantai Pasir Berdengung, di sini ditemukan lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) kira-kira jam 11 pagi pada Isnin.

Mangsa, Chamlong Onthadi, 54, yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah hotel di pantai berkenaan ditemukan lebih kurang 1 batu nautika barat pantai oleh bot nelayan tempatan.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, mayat mangsa ditemukan masih berpakaian lengkap sambil mengengam siput di tangannya.

Katanya, rakan mangsa yang cuba menjejaki mangsa menemui sepasang selipar dan seekor anak anjing di pantai pada petang Ahad dan mengesyaki mangsa telah hilang semasa mencari siput.

"Op CARILAMAT diaktifkan selepas Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima panggilan sekitar jam 7.30 petang daripada Balai Polis Teriang memaklumkan berkaitan kehilangan mangsa.

"Bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk ditemui berikutan cuaca gelap yang mengehadkan jarak penglihatan serta kawasan air cetek menyukarkan lagi pencarian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, MRSC Langkawi mengkoordinasikan CARILAMAT dengan dibantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bot-bot nelayan tempatan kira-kira jam 7 pagi.

"Lebih kurang jam 11 pagi, mayat mangsa ditemukan oleh bot nelayan tempatan di kawasan sekitar 1.0 batu nautika barat pantai itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati mangsa turun mencari siput di kawasan taman tema yang telah lama tidak beroperasi dan tempat persendirian lebih kurang jam 9 pagi Ahad.

Katanya, penyelia mangsa melaporkan kehilangan lelaki berkenaan selepas dia tidak pulang sebelum usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sejak Ahad.

"Pada hari kedua, mayat lelaki berkenaan lengkap dengan pakaian ditemui terapung di kawasan laut dalam jarak 1.0 batu nautika dari tempat barangannya ditemui," katanya.

Shariman berkata, tiada kesan kecederaan luaran pada mangsa dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk tindakan lanjut. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).