'Biar Presiden Bersatu putuskan'

Artikel Sinar Harian pada 26 Jun 2021.
Artikel Sinar Harian pada 26 Jun 2021.
A
A
A

ALOR SETAR - Semua pihak perlu menyerahkan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikan kemelut melibatkan sembilan Ketua Bahagian di Kedah yang didakwa menolak Datuk Mohd Suhaimi Abdullah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) di negeri itu.

Ketua Bersatu Bahagian Alor Setar, Dzowahir Abdul Ghani berkata, hanya presiden parti tersebut sahaja yang mempunyai kuasa untuk menentukan kedudukan pengerusi dan timbalan pengerusi BPN di seluruh negara.

Menurutnya, setiap keputusan yang diputuskan oleh presiden parti perlu dihormati oleh semua ahli.

"Kami di Bersatu Bahagian Alor Setar menghormati keputusan presiden kerana kuasa melantik pengerusi dan timbalan pengerusi BPN adalah di tangan presiden.

"Biar presiden parti yang menentukannya (menyelesaikan kemelut ini)," katanya kepada Sinar Harian selepas menyerahkan 135 pek makanan kepada petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan sembilan Ketua Bahagian Bersatu di Kedah menandatangani surat menolak Mohd Suhaimi sebagai Pengerusi BPN Kedah.

Menurut sumber terdekat, surat berkenaan sudah pun dihantar kepada Muhyiddin dengan menyertakan 10 sebab mengapa Mohd Suhaimi perlu digantikan.

Kemelut tersebut turut disahkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika dihubungi Sinar Harian dan perkara tersebut sudah pun berada dalam pengetahuan pimpinan tertinggi parti.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mereka akan menggunakan saluran dalaman parti untuk menyelesaikannya.

Bagi Mohd Suhaimi pula, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Muhyiddin untuk menentukan kedudukannya di negeri ini.