Hampir 100 petugas media Perak terima bantuan

Sayed Mohd Hesham (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil NST Perak, Zahratulhayat Mat Arif (dua dari kanan). Turut hadir, Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad (kanan) dan wakil Astro Awani, Razak Ali (kiri) di Ipoh. - Foto Ihsan PPMP
Sayed Mohd Hesham (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil NST Perak, Zahratulhayat Mat Arif (dua dari kanan). Turut hadir, Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad (kanan) dan wakil Astro Awani, Razak Ali (kiri) di Ipoh. - Foto Ihsan PPMP
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan sejumlah dana khas kepada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) bagi membantu meringankan beban petugas media di negeri ini yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

Pengerusi PPMP, Sayed Mohd Hesham Syed Idris berkata, dana terbabit dikumpulkan melalui tabung persatuan hasil sumbangan daripada pelbagai pihak didahului oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diikuti Pejabat Menteri Besar Perak; Ahli Parlimen; badan korporat; syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu persendirian.

"Menerusi dana itu, hampir 100 pengamal media tersenarai sebagai penerima bantuan dengan setiap daripada mereka menerima wang tunai antara RM200 hingga RM500 membabitkan jumlah keseluruhan RM35,000.

"Ia diberikan secara 'one off' dan berperingkat sejak 16 Jun lalu merangkumi pelbagai agensi media cetak dan penyiaran, akhbar berbahasa Melayu, Cina dan India yang terkesan dalam pandemik Covid-19 ketika ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, sumbangan itu antara lain sebagai menghargai peranan petugas media yang terus berkerja dan mencari bahan berita untuk menyalurkan maklumat tepat kepada orang ramai terutama berkaitan usaha kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Katanya, bantuan ini juga diharap dapat memberi semangat kepada petugas media untuk terus komited dalam menjalankan tugas.

"Kesempatan ini juga PPMP merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu serta prihatin dengan situasi semasa pengamal media di negeri ini terutama dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel Berkaitan: