Karikatur hina Nabi: Perhimpunan tiada permit

Polis menenangkan peserta perhimpunan di depan IPD Timur Laut malam tadi.
Polis menenangkan peserta perhimpunan di depan IPD Timur Laut malam tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan perhimpunan oleh lebih 100 aktivis Islam di hadapan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut malam tadi tidak mempunyai permit mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, perhimpunan itu adalah sebagai respons penduduk Islam di Pulau Pinang berhubung perkara sebenar yang berlaku di Batu Pahat, Johor.

"Semua laporan polis yang dibuat malam tadi akan dirujuk ke polis Batu Pahat untuk tindakan dan semestinya pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil maklum kesemua laporan yang dibuat.

"Bagaimanapun, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan tiada tangkapan dibuat ketika himpunan malam tadi," katanya ketika dihubungi tadi.

Difahamkan, sebanyak 15 laporan polis dibuat aktivis yang terlibat dalam perhimpunan bermula kira-kira jam 9.30 malam bagi menggesa polis menahan semula suspek lelaki berusia 68 tahun kerana dipercayai menghina Nabi Muhammad SAW di Facebooknya, 18 Februari lalu.

Polis turut menggunakan perkhidmatan anggota Unit Tempur Ringan (LSF) sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Terdahulu, lelaki yang ditahan kerana memuat naik gambar karikatur berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah di Facebook, Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan polis sebaik tempoh reman tiga hari dikenakan terhadapnya tamat kelmarin

Dia ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Suspek hina nabi dibebas dengan jaminan polis

Hina Nabi: KAMP mahu tindakan tegas

Polis didesak tahan semula lelaki hina Nabi