X

Kindly register in order to view this article
!

Berjalan kaki usung keranda 1km urus pengebumian mayat orang asli

Gambar dari Facebook Mohd Adree menunjukkan petugas berehat ketika mengusung keranda mayat orang asli yang menjadi mangsa Covid-19.
A
A

SEREMBAN - Berjalan kaki hampir sejam dengan mengusung keranda mayat Covid-19 menguji ketahanan mental dan fizikal tiga petugas kesihatan daerah Seremban ketika menguruskan pengebumian mayat orang asli di Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Lenggeng dekat sini baru-baru ini.

Ketika matahari terpacak kira-kira 12 tengah hari, Mohd Adree Zuzalee Adnan, Sheikh Ezamli Sheikh Dolah dan Mohd Shahran Musa telah bersiap sedia dengan berpakaian lengkap alat perlindungan peribadi (PPE) bersama lima individu lain daripada pihak pengurusan mayat untuk menguruskan mayat pada Jumaat lepas.

Menceritakan situasi itu, Mohd Adree, 37, berkata, mengusung keranda dengan laluan berbukit hampir satu kilometer itu adalah pengalaman pertama dirinya serta rakan-rakan sepanjang menguruskan pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Berjalan kaki dengan berpakaian PPE dengan laluan berbukit menyukarkan perjalanan kami. Dalam keadaan cuaca yang panas itu juga kami perlu mengawal cara penafasan untuk mengelakkan badan terlalu penat ketika mengusung keranda dan mayat itu.

“Jadi kami perlu berhenti untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke tempat pengebumian mayat itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Adree turut berkongsi pengalamannya itu menerusi Facebook miliknya ‘Aliff Dal Ro YA’ baru-baru ini mendapat perhatian daripada netizen yang memberikan kata-kata semangat kepada pasukan petugas kesihatan selain menerima ucapan 'terima kasih Frontliner'.

Beliau berkata, sama seperti prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah Islam, petugas perlu mematuhi arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mencegah penularan Covid-19.

Mohd Adree berkata, selepas selesai pengebumian mayat itu, mereka akan disanitasi serta perlu membersihkan diri sebelum masing-masing pulang ke rumah.

Beliau berkata, sebagai seorang petugas yang menguruskan mayat Covid-19 untuk tempoh lebih setahun ini, beliau dan rakan-rakannya tidak pernah menganggap ia adalah bebanan, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab.

“Kami bersedia setiap masa apabila dipanggil menguruskan jenazah Covid-19, jadi kesihatan diri, kecergasan fizikal dan mental memainkan peranan penting kerana kami tidak boleh jangka bagaimana situasi dalam menguruskan sesuatu jenazah,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!