X

Kindly register in order to view this article
!

Sindiket judi bola sepak tumpas, 51 ditahan

Ayob menunjukkan wang tunai dan barang-barang yang dirampas dalam 40 serbuan seluruh Johor kerana terlibat dalam judi bola sepak, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Isnin.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menumpaskan sindiket judi bola sepak secara dalam talian melibatkan nilai pertaruhan lebih RM19 juta menerusi 40 serbuan di seluruh negeri.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menerusi Ops Saga VIII dari 10 hingga 26 Jun lalu, serbuan dilakukan di rumah yang menjadi lokasi operasi sindiket berkenaan.

Menurutnya, seramai 51 warga tempatan berusia 18 hingga 54 tahun daripada beberapa kumpulan berbeza ditahan selepas dipercayai terlibat sebagai ejen atau bookie sindiket pertaruhan.

"Serbuan paling banyak ialah di daerah Johor Bahru Selatan. Jumlah pertaruhan pula bergantung kepada mereka. Sindiket ini mula beroperasi sejak 12 Jun lalu sempena Kejohanan Bola Sepak UEFA Euro 2020," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Johor (IPK) di sini pada Isnin.

Beliau berkata, mereka menjalankan kegiatan tersebut berpandukan 20 laman sesawang di luar negara.

Ayob Khan memberitahu, menerusi serbuan itu polis merampas wang tunai berjumlah RM35,112 selain 71 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer, empat komputer riba, tiga unit mesin kira, satu unit modem, dua unit router dan printer.

Antara barangan yang dirampas menerusi Ops Saga VIII dari 10 hingga 26 Jun.
Antara barangan yang dirampas menerusi Ops Saga VIII dari 10 hingga 26 Jun.

"Turut dirampas 67 keping sim kad pelbagai jenis, dua jadual perlawanan bola sepak dan 15 helai kertas catatan rekod pertaruhan," katanya.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan direman antara dua hingga empat hari bagi siasatan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 hingga RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

Jelasnya, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak enam bulan atau kedua-dua sekali dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953 yang boleh didenda RM20,000 hingga RM200,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

"Kejayaan operasi ini sebahagian besarnya hasil risikan polis dan selain aduan dan maklumat orang ramai," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau percaya masih ada lagi ahli kumpulan lain yang menjalankan kegiatan sama dan dijangka semakin ramai menjelang akhir kejohanan berkenaan.

Polis Johor akan terus menjalankan operasi tersebut secara berterusan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pertaruhan judi bola sepak, boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan atau bilik gerakan polis Johor 07-2212999 atau 07-2254677.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!