Sektor industri boleh beli vaksin di NS Sejahtera

Aminuddin (kiri) bertanyakan sesuatu kepada penerima vaksin di PPV Mega di Dewan Tuanku Canselor USIM.
Aminuddin (kiri) bertanyakan sesuatu kepada penerima vaksin di PPV Mega di Dewan Tuanku Canselor USIM.
A
A
A

NILAI - Sektor perkilangan, syarikat perniagaan dan Industri Kecil Sederhana (IKS) di Negeri Sembilan boleh mendapatkan vaksin Covid-19 untuk pekerja mereka menerusi program NS Sejahtera.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, program yang dikendalikan oleh syarikat swasta J&E Advanced Tech Sdn Bhd itu terbuka kepada mana-mana syarikat yang berminat secara sukarela dengan segala kos perlu ditanggung mereka sendiri.

"Syarikat itu telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 untuk membuat perolehan vaksin daripada Pharmaniaga Life science Sdn Bhd.

"Syarikat yang berminat untuk membuat pendaftaran dan mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web www.nssejahtera.com.my yang boleh diakses bermula petang Isnin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, pada Isnin.

Jelasnya, data penerima vaksin daripada NS Sejahtera ini akan diselaraskan dengan MySejahtera bagi memastikan pelaporan data adalah lengkap dan tepat di peringkat kebangsaan.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri berharap dengan inisiatif pihak swasta ini dapat membantu kerajaan negeri mempercepat proses vaksinasi di Negeri Sembilan sekali gus bagi mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat.

"Sebagai permulaan pusat vaksinasi syarikat ini akan beroperasi di Dewan Ube Kawasan Perindustrian Nilai 3.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan pihak syarikat akan menambah bilangan pusat vaksinasi dari masa ke masa bergantung kepada permintaan sektor industri," katanya.

Ditanya berkenaan harga bagi setiap dos, beliau berkata ia ditentukan oleh syarikat terbabit yang mana segala kemudahan diuruskan mereka sendiri.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, sehingga kini terdapat 94 PPV di Negeri Sembilan.

"Lima dibuka hari ini (Isnin) iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Jempol; Kompleks Sukan Komuniti Felda Palong 6; Dewan Orang Ramai Sendayan; Dewan Pusat Islam Rantau dan Dewan Besar Gemas.

"Dua lagi akan dibuka pada 2 Mei ini iaitu di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah dan Kompleks Belia dan Sukan Paroi," katanya.