Tite tetap puas hati

Tite (kiri) memberikan arahan kepada pemainnya ketika perlawanan menentang Ecuador.
Tite (kiri) memberikan arahan kepada pemainnya ketika perlawanan menentang Ecuador.
A
A
A

PENGENDALI Brazil, Tite mengakui pasukannya tidak berada pada tahap terbaik ketika seri 1-1 dengan Ecuador dalam aksi terakhir Kumpulan B Copa America di Estadio Olimpico Pedro Ludovico pada awal pagi Isnin.

Menurutnya, beberapa kesilapan dilakukan para pemainnya selain tidak memanfaatkan peluang di depan gol menjadi punca skuad Samba itu gagal meneruskan rentak kemenangan.

Namun, pengendali berusia 60 tahun itu tetap berpuas hati dan menganggap pemainnya sudah memberikan yang terbaik apatah lagi dia turut melakukan banyak perubahan dengan merehatkan beberapa pemain utama.

"Saya akui banyak kelemahan dan kesilapan dilakukan Brazil hari ini. Namun, untuk mengatakan kami tidak boleh buat silap adalah sesuatu yang diluar kemampuan kami. Kesempurnaan tidak pernah wujud.

"Saya bercakap mengenai keseimbangan dalam pasukan ketika bertahan dan menyerang. Ada ketika kami perlu menyerang dan ada ketika kami perlu bertahan.

"Apabila kami menyerang, kami tidak boleh membuka ruang kepada pemain lawan untuk menyerang kembali. Namun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain dan kami ada keseimbangan dalam perlawanan hari ini," katanya.

Dalam perlawanan itu, Eder Militao terlebih dahulu membukat tirai jaringan buat Brazil pada minit ke-37 sebelum Angel Mena menyamakan kedudukan buat Ecuador pada minit ke-53.

Bagaimanapun, keputusan seri tersebut tidak menjejaskan kedudukan Brazil di kedudukan teratas kumpulan B selepas merekodkan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tite turut mempertahankan keputusannya yang merehatkan beberapa pemain utama termasuk pemain bintangnya, Neymar dalam perlawanan tersebut.

"Saya perlu membuat beberapa keputusan penting dan saya telah berbincang dengan staf kejurulatihan untuk merehatkan beberapa pemain utama yang turut telah menerima kad kuning.

"Saya menyenaraikan gabungan pemain yang saya rasa mampu memberikan keseimbangan dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan mereka," katanya.