Datuk didakwa tipu penjualan saham syarikat

Yoon Seong didakwa menipu penjualan saham syarikat di Mahkamah Majistret Ipoh.
Yoon Seong didakwa menipu penjualan saham syarikat di Mahkamah Majistret Ipoh.
A
A
A

IPOH - Seorang pemaju hartanah bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas pertuduhan menipu penjualan saham syarikat berjumlah RM400,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Chin Yoon Seong, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohammad 'Afifi Mohammad Deen.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa menipu Lee Wan How, 36, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia akan menjual saham syarikat miliknya dan mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM400,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Times Square Ipoh, Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini pada 6 Januari dan 12 Januari 2017.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili Peguam Raam Kumar.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: