Empat 'transporter', 10 PATI baru mendarat ditahan

PGA menahan empat transporter dan 10 PATI dalam kebun kelapa sawit di Jalan Kampung Serong Laut, Serkat, Pontian pada Ahad.
PGA menahan empat transporter dan 10 PATI dalam kebun kelapa sawit di Jalan Kampung Serong Laut, Serkat, Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menahan empat lelaki tempatan yang bertindak sebagai 'transporter' dan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam satu serbuan dalam kebun sawit di Jalan Kampung Serong Laut, Serkat di sini pada Ahad.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, mereka ditahan dalam Op Benteng yang dilakukan Batalion 5 PGA bersama-sama D3 Atipsom Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 9.30 pagi.

"Dalam serbuan itu empat lelaki tempatan berusia 21 hingga 45 tahun, lima lelaki dan lima wanita warga Indonesia berusia 18 hingga 36 tahun ditahan berdekatan rumah penampungan dalam kebun sawit berkenaan.

"Turut dirampas empat buah kenderaan yang digunakan sindiket tersebut iaitu Toyota Wish, Perodua Bezza, Perodua Alza dan Perodua Kenari," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dimin berkata, siasatan awal mendapati semua suspek mengaku memasuki negara ini melalui jalan laut dan mendarat di Kampung Kubur Telok Kerang sebelum dihantar keempat-empat transporter tersebut ke rumah penampungan itu.

"Semua suspek dipercayai dalam proses penghantaran ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur semasa tangkapan dilakukan.

"Hasil soal siasat mendapati aktiviti itu didalangi seorang lelaki tempatan bernama Boi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Empat buah kenderaan yang digunakan sindiket tersebut.
Empat buah kenderaan yang digunakan sindiket tersebut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26(a) Akta Atipsom 2007, Seksyen 5(2) Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM197,537. Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini pihaknya berjaya menahan 124 lelaki dan wanita yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran.

Daripada jumlah itu katanya, melibatkan 51 warga tempatan; seorang warga Bangladesh; 67 warga Indonesia; seorang warga Mynmar dan empat warga China.

Dimin memberitahu, 32 laporan tangkapan dibuat melibatkan 11 kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, enam kes (Akta Imigresen 1959/63); enam kes (Akta Bahan Letupan 1957) (Akta 207); lima kes (Akta Atipsom 2007) dan masing-masing satu kes (Akta Senjatapi 1960, Akta Barang Lusuh, Akta Racun 1952 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009).

"Nilai rampasan Batalion 5 PGA sepanjang tempoh itu berjumlah RM18,251,071 dengan pecahan RM281,882 pada Januari; RM881,807 (Februari); RM1,016,192 (Mac); RM985,201 (April); RM14,586,887 (Mei) dan RM499,101 (Jun).