Penghantar makanan OKU terima bayaran 'seikhlas hati'

Nur Safra bersama pesanan pelanggan yang diterima.
Nur Safra bersama pesanan pelanggan yang diterima.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Prihatin dengan nasib menimpa kebanyakan individu yang hilang pekerjaan, seorang penghantar barangan yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) tidak mengenakan caj kepada pelanggan sebaliknya menerima bayaran seikhlas hati sekadar mampu.

Walaupun kudratnya tidak seperti insan lain, Nur Safra Abd Halim, 30, yang mengalami kecacatan pada kaki tidak patah semangat untuk terus bekerja bagi menampung kehidupannya.

Nur Safra juga memberitahu, dia memahami ramai yang kini dibuang kerja dan tidak dapat kerja lebih masa seperti kelaziman akibat pandemik Covid-19

"Saya tidak menetapkan sebarang kadar caj bayaran kepada pelanggan. Terpulang kepada mereka untuk memberi upah seikhlas hati," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Sebelum bekerja sebagai penghantar barangan, Nur Safra pernah bekerja sebagai jurujual kereta namun pendapatannya terjejas selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020.

"Saya mula bekerja sebagai penghantar barang dan kini mampu raih pendapatan sehingga RM500 sebulan.

"Walaupun jumlah diterima tidak begitu besar, bagi saya cukup untuk menampung kewangan diri dan tidak membebankan keluarga kerana mereka juga mengalami masalah kewangan ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nur Safra mengenakan bayaran seikhlas hati kepada pelanggan yang menggunakan khidmat penghantarannya.
Nur Safra mengenakan bayaran seikhlas hati kepada pelanggan yang menggunakan khidmat penghantarannya.

Khidmat penghantaran barangan yang dilakukan Nur Safra diiklankan melalui Facebook dan pesanan mudah alih WhatsApp.

Antara barangan yang sering dipesan pelanggan ialah bahan mentah seperti ikan dan ayam serta keperluan dapur seperti susu, rempah masakan serta tepung.

Nur Safra mengakui bersyukur kerana ada juga pelanggan membayar lebih daripada jumlah sepatutnya terutama pelanggan dari luar Terengganu yang membelikan barangan untuk ibu bapa di kampung.

Dalam pada itu, ditanya punca kecacatan dialami pada kakinya, anak keenam dari tujuh beradik ini berkata, kemalangan jalan raya yang dialami pada 2010 menyebabkan tulang paha kanannya hancur dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Menurut wanita yang pernah memenangi pingat emas acara lempar cakera dan rejam lembing pada temasya Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2018, kecacatan fizikal dialami tidak begitu ketara kerana dia mengenakan tumit tambahan pada kasut yang dipakai untuk kaki sebelah kanan.

"Hampir tujuh tahun saya tidak boleh berjalan seperti biasa dan berkat sokongan keluarga, kawan serta mengikut latihan fisioterapi disediakan, akhirnya saya kembali pulih sepenuhnya dan berjalan tanpa menggunakan tongkat pada 2017.

"Saya amat bersyukur kerana dapat kembali berjalan dan akan memanfaatkan sepenuhnya anugerah kedua yang dikurniakan ALLAH SWT ini untuk berbakti kepada masyarakat," katanya.