Usahawan mikro berisiko bankrap

Premis ditutup berikutan kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Wan Junaidi
Premis ditutup berikutan kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengakui para peniaga kecil terutamanya mikro dan tidak formal terkesan dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa di seluruh negara.

Bagaimanapun kata beliau, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) amat peka dengan kesusahan yang dialami peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama peniaga mikro dan tidak formal.

“Kami sentiasa memikirkan pelbagai bantuan dan perkhidmatan yang boleh disalurkan kepada golongan ini.

“Antara bantuan yang telah ditawarkan oleh MEDAC melalui agensi-agensinya termasuk moratorium dan bantuan bersasar lain sebanyak RM746.79 juta kepada PKS dalam membantu mengurangkan impak sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Kemudahan itu dijangka dapat memberi manfaat kepada sejumlah 734,707 peminjam dan penyewa yang merangkumi perusahaan mikro dan perniagaan tidak formal termasuk usahawan dalam kategori B40,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengulas laporan Jawatankuasa Bertindak Peniaga-peniaga Mikro Malaysia yang menyatakan 50,000 syarikat PKS dan perniagaan mikro berasaskan komuniti akan gulung tikar apabila pelaksanaan sekatan pergerakan penuh PKP 3.0 dilanjutkan selama enam minggu selepas tempoh asal berakhir pada 28 Jun (hari ini).

Peniaga burger, Mohd Faizul Muhamad Mukhtar (tengah) dan Mohd Azrin Azahari (kanan) menyiapkan pesanan pelanggan di gerai burgernya yang terletak di Meru Raya, Perak. - Foto Bernama
Peniaga burger, Mohd Faizul Muhamad Mukhtar (tengah) dan Mohd Azrin Azahari (kanan) menyiapkan pesanan pelanggan di gerai burgernya yang terletak di Meru Raya, Perak. - Foto Bernama

Jelas jawatankuasa itu, laporan Persatuan PKS Malaysia turut mendedahkan sejumlah 100,000 syarikat PKS dikenal pasti menutup operasi perniagaan sejak PKP 1.0 yang bermula Mac tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Wan Junaidi berkata, buat masa ini, terdapat hampir dua juta usahawan dalam kategori mikro dan tidak formal di seluruh negara.

“Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh MEDAC bagi melihat impak lockdown kepada usahawan dan perniagaan, lebih 80 peratus daripada golongan ini berisiko untuk menutup perniagaan mereka.

“Ramai antara golongan ini juga mengatakan mereka hanya mempunyai simpanan tunai untuk menampung perniagaan mereka selama tiga bulan sahaja,” katanya.

MEDAC sebelum ini memaklumkan 54 peratus daripada golongan itu hanya mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan.“Pihak kementerian sentiasa proaktif dalam membantu PKS tempatan untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran perniagaan pada era pasca Covid-19.

“Selain menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pinjaman kredit mikro melalui agensinya seperti Tekun Nasional, MEDAC juga aktif membantu usahawan berhijrah ke arah perniagaan secara online melalui pelbagai program latihan yang ditawarkan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN),” katanya.

Wan Junaidi juga akan mengadakan satu sidang akhbar berhubung perkara ini pada Selasa.