X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 22 Januari 2022

Peniaga makanan alami kerugian besar

Pengusaha restoran mengalami kerugian sebanyak 50 peratus sejak pelaksanaan SPP pada awal Jun lalu kerana pelanggan tidak lagi mengunjungi premis. (Gambar kecil: Zamri Shuhaimi,, Arbaina Selamat)
A
A

SHAH ALAM - Peniaga makanan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur mengakui mereka bukan sahaja terkesan berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) sejak 1 Jun lalu malah turut mengalami kerugian besar.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata golongan ini dihimpit keperitan hidup apabila punca pendapatan mereka semakin merosot.

Pengusaha restoran di Seksyen 30, Shah Alam, Arbaina Selamat, 53 berkata, pendapatan daripada perniagaan yang diusahakan sejak November tahun lalu itu menyusut kira-kira 50 peratus.

"Sebagai peniaga makanan, saya buntu memikirkan nasib kami sebagai kerana sudah diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah ada dalam kalangan kami hanya menunggu masa untuk menutup operasi perniagaan mereka.

"Kalau kerajaan masih tidak membenarkan pelanggan makan di kedai dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi, mungkin lebih ramai peniaga gulung tikar kerana tidak mampu untuk menanggung kos operasi," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Jelasnya, pelbagai usaha dilakukannya termasuk mengubah strategi perniagaan dengan menjual makanan sarapan pagi dan masakan tengah hari, namun hasil jualan masih tidak mencukupi sebaliknya mencatat kerugian.

"Jadi kami harap kerajaan dapat percepatkan proses vaksinasi rakyat agar keadaan negara kembali pulih daripada pandemik Covid-19.

"Kami merayu kerajaan bantu pulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas selain berharap perniagaan kedai makan dapat menarik lebih ramai pelanggan dan membantu menjana keuntungan kepada peniaga," katanya yang perlu membayar sewa premis itu RM1,500 sebulan.

Dalam pada itu seorang lagi pemilik restoran makanan Barat di Seksyen 30, Zamri Shuhaimi, 40 berkata, perniagaannya mengalami kerugian paling teruk sejak mula berniaga empat tahun lalu.

Katanya, walaupun dia menyediakan perkhidmatan seperti ‘self-pick up’ dan penghantaran makanan ke rumah, namun jumlah pelanggannya tetap berkurang kerana majoriti mereka lebih gemar makan di kedai.

“Saya harap kerajaan boleh longgarkan prosedur operasi standard (SOP) seperti benarkan pelanggan makan di kedai dan melanjutkan waktu perniagaan sehingga waktu malam," katanya yang mengakui mengalami kerugian kira-kira 70 peratus.

Keluhan sama turut disuarakan peniaga tepi jalan di sekitar Kuala Lumpur apabila pendapatan mereka jauh merosot berbanding sebelum ini.

Pendapatan Nik Azman (kiri) menjual nasi kukus ayam berempah merosot kepada RM600 sehari walaupun mempunyai tiga cawangan gerai lain di sekitar Kuala Lumpur.
Pendapatan Nik Azman (kiri) menjual nasi kukus ayam berempah merosot kepada RM600 sehari walaupun mempunyai tiga cawangan gerai lain di sekitar Kuala Lumpur.

Pengusaha gerai nasi kukus yang beroperasi sejak dua tahun di Setiawangsa, Nik Azman Nik Ibrahim, 51 berkata, sebelum ini dia mampu memperoleh sekitar RM1,000 hingga RM1,400 sehari di tiga cawangan gerai nasi kukusnya di sekitar Kuala Lumpur.

Dia berkata, pendapatannya terjejas teruk apabila hanya mampu memperoleh pendapatan RM600 hingga RM700 sehari di tiga cawangan berkenaan, selain terpaksa menanggung beban apabila harga ayam mentah tidak menentu.

"Harga set nasi kukus ayam goreng kami hanya RM4.50 dan kami perlu kekalkan harganya untuk menjaga pelanggan setia kami walaupun harga ayam mentah naik," katanya.

Bagi peniaga minuman buah-buahan dalam balang, Nuraazilah Suppian Sauri, 46 berkata, pelaksanaan SPP amat memberi kesan kepada peniaga kecil-kecilan sepertinya.

Katanya, perniagaan mereka terjejas teruk berikutan penutupan pasar malam dan tempoh masa jualan yang terhad.

"Saya berniaga hampir 20 tahun di gerai dan di beberapa pasar malam sekitar Kuala Lumpur.

"Sebelum ini saya mampu mendapat sekitar RM700 hingga RM800 sehari hasil jualan air dalam balang ini sekarang nak dapat RM300 pun susah," jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!