Integrasi dua elemen bawa kejayaan

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia - Foto internet
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia - Foto internet
A
A
A

UMUMNYA umat Islam memahami bahawa dasar Barat ialah liberal dan sekular untuk membuktikan bahawa pihak Barat telah berjaya menguasai kekayaan negara dan hasil bumi dengan amalan dasar yang tersebut.

Dengan itu rakyat umumnya merasakan bahawa itulah kepandaian pihak Barat untuk mencipta hidup yang mewah, makmur dan hal ini dapat dijayakan dengan menguasai ilmu dunia ini semuanya serta dalam masa yang sama 'agama' tidaklah perlu dicampuradukkan dengan ilmu moden.

Dasar ini telah pun disuarakan oleh Lord Cromour, Konsul Agung British di Mesir di dalam bukunya, Modern Egyptian (1916), “Bahawa penjajah British janganlah membenarkan Mesir membangunkan negaranya sebagai negara Islam, malah hendaklah dipastikan supaya Mesir mengambil dasar Barat tentang pemerintahan (libralisme dan secularisme) sebagai dasar negara dan semua pegawai tadbir utama di negara tersebut mestilah terdiri daripada anak muda berfahaman sekular.”

Pada tahun 1999, negara Turki telah melucutkan jawatan seorang ahli Parlimen wanita yang memakai pakaian menutup aurat kerana dia telah melanggar undang-undang negara.

Dia terpaksa keluar negara dan menyambung pelajaran serta bekerja di sana sehinggalah pada tahun 2017, bekas ahli Parlimen wanita itu dipanggil balik ke Turki dan dikembalikan taraf kerakyatannya serta dihantar menjadi Duta Turki di Malaysia.

Yang menariknya, anak perempuan beliau sendiri baru-baru ini telah di tugaskan untuk menjadi pengiring kepada Presiden Turki dan jurubahasanya ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Joe Biden melakukan lawatan rasmi ke Turki dan menemui Presiden Erdogan pada 14 Jun 2021 sedangkan dia juga muncul sebagai seorang wanita Muslim yang menutup aurat.

Mengikut sarwajagat Islam, ilmu adalah terbahagi kepada dua iaitu aqli (akal) dan naqli (wahyu). Integrasi dua elemen ini membawa kepada kebahagian dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Pentadbiran negara haruslah melaksanakan hal ini terutamanya di dalam bidang pendidikan untuk melahirkan generasi baru dalam negara yang sempurna.

Artikel Berkaitan:

Persoalannya, apakah umat Islam memahami dasar Barat ini sebenarnya dan apakah tindakan yang telah dijalankan dalam menerima atau menolak dasar tersebut?

Malah berikutan dari persoalan ini, bagaimanakah sebenarnya kita dapat merangka dasar negara secara kualitatif dan/atau kuantitatif di atas dasar kesepaduan di antara ilmu aqli dan naqli di dalam institusi pemerintahan negara yang berkenaan terutamanya di dalam bidang pendidikan negara sendiri?

Apakah sistem pengajian agama, tahfiz, pondok, IPT agama seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1983 berdasarkan kesepaduan ilmu wahyu dan ilmu akal dan pusat pendidikan lainnya secara umum, telah atau akan mempunyai sistem integrasi ilmu wahyu dan akal ini bagi melahirkan graduan yang benar-benar dapat melaksanakan dasar integrasi ilmu ini?

Persoalan lain, bagaimanakah kita dapat memastikan proses pendigitan dalam ilmu teknologi maklumat dan komunikasi serta yang berkaitan dengannya pada masa kini tidak menjejaskan perwatakan, adab, jati diri dan budaya anak watan sendiri kerana teknologi ini sedang dibangunkan di Barat termasuk di Jepun dan Korea?

Marilah kita sama-sama merenungi apakah dasar Barat itu masih dipertahankan atau telah ditolak oleh negara-negara Islam dan bagaimanakah tindakan negara-negara Islam dalam hal ini yang secara holistik dan berkesan?

Bagi saya, Malaysia merupakan negara utama yang perlu menunjukkan contoh sebenarnya dalam persoalan ini kerana negara ini juga merupakan di antara negara yang terawal melaksanakan dasar kesepaduan ilmu ketika menubuhkan UIAM berdasarkan resolusi Kongres Pertama Pendidikan Islam Se Dunia yang pertama di Universiti King Abdul Aziz, Mekah Al-Mukarramah pada tahun 1977.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia