Tak mudah uji calon pemain naturalisasi

Sumareh (tengah) merupakan pemain pertama naturalisasi Harimau Malaya. FOTO: FB FAM
Sumareh (tengah) merupakan pemain pertama naturalisasi Harimau Malaya. FOTO: FB FAM
A
A
A

SARANAN menjadikan perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai medan terakhir menguji potensi calon pemain naturalisasi untuk bersama skuad negara tidak semudah yang disangka.

Malah, kaedah pelaksanaannya yang hanya dibenarkan menerusi aksi persahabatan berstatus perlawanan pertunjukan atau perlawanan ujian, mencetuskan tanda tanya adakah aksi itu yang tidak memberikan manfaat kepada pungutan mata ranking dunia, sesuatu yang relevan pada waktu ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, tidak banyak pasukan berada di ranking lebih baik cenderung untuk bermain perlawanan sedemikian terutama pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Apabila soal perlawanan bola sepak antarabangsa, hanya segelintir pihak mahu bermain kerana mereka mahu membuat penampilan terbaik dalam jendela FIFA, jadi bukan saja soal kita dan pihak lawan mahu, ia juga soal berkaitan melakukannya ketika dalam tempoh penting apabila terdapat kiraan mata (ranking FIFA) untuk turut direbut," katanya.

Mengambil contoh perlawanan ujian skuad kebangsaan menentang Kuwait pada 24 Mei lalu, Stuart berkata, keutamaan kedua-dua pasukan adalah untuk menurunkan seberapa ramai mungkin pemain bagi melihat tahap prestasi dan persefahaman mereka.

“Jadi ia melibatkan soal jumlah pertukaran yang boleh dibuat yang sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan ketetapan perlawanan persahabatan Tier 1, jadi dalam konteks ini pihak lawan juga perlu menerima pelawaan bermain perlawanan ujian,” tambah beliau.

Perlawanan Piala AIA antara Pilihan Malaysia dan pasukan Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur FC pada Mei 2015 adalah berstatus perlawanan pertunjukan dengan skuad bimbingan Dollah Salleh itu turut dibarisi lima pemain import Liga Malaysia (Liga-M).

Lima pemain import ketika itu adalah pemain naturalisasi terbaru negara Guilherme De Paula yang mewakili Selangor, Thiago Junior Aquino (Perak), Robert Cornthwaite (Selangor), Paulo Rangel (Terengganu) dan Ali Ashfaq dari PDRM.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Stuart berkata, tidak banyak pasukan negara akan bersetuju untuk mengumpulkan pemain lebih awal sekiranya skuad kebangsaan bercadang mengadakan perlawanan ujian sebelum jendela perlawanan antarabangsa FIFA bermula.

Atas faktor itu objektif utama menguji kemampuan sebenar calon pemain naturalisasi dalam perlawanan berintensiti tinggi serta menentang pasukan lebih baik mungkin tidak tercapai.

“Jika kita main perlawanan ujian menentang Nepal atau Bangladesh, adakah ia akan benar-benar menguji pemain (naturalisasi) dan mungkin juga kita boleh bermain dengan mereka kerana mereka boleh membuat panggilan skuad kebangsaan.

“Tapi jika kita nak uji mereka menentang Hong Kong, Taiwan, Uzbekistan atau pun Iran, kita mungkin tidak boleh mendapat perlawanan tersebut di luar jendela FIFA, dan dalam jendela FIFA mereka mungkin tidak mahu bermain perlawanan pertunjukan,” kata Stuart.

Sebelum ini terdapat saranan FAM menjadikan perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai medan terakhir menilai potensi pemain asing sebelum memutuskan untuk menaturalisasikan mereka beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Saranan itu dibuat supaya kesesuaian dan keberkesanan kehadiran pemain asing dalam corak permainan pasukan kebangsaan dapat dilihat lebih jelas berbanding hanya memilih berdasarkan prestasi dalam saingan liga domestik.

Sehingga kini, FAM telah menaturalisasikan tiga pemain iaitu Mohamadou Sumareh dari Gambia, Liridon Krasniqi (Kosovo) dan De Paula (Brazil) dalam merealisasikan misi skuad kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Jumlah itu mungkin bertambah dalam masa terdekat apabila dua pemain import Liga-M, antaranya tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Gonzalo Cabrera dan Endrick Dos Santos (Penang FC) kini dikaitkan bakal menjadi pemain naturalisasi terbaharu pasukan negara.- Bernama