UTeM tersenarai dalam THE Young University Rankings 2021

Foto Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
Foto Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
A
A
A

MELAKA - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melakar sejarahnya tersendiri apabila tersenarai dalam penarafan Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2021 baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan itu meletakkan institusi yang ditubuhkan sejak 21 tahun lalu terus menyerlahkan prestijnya sebagai sebuah daripada universiti terbaik dunia yang berusia 50 tahun atau kurang.

Beliau berkata, antara kriteria penarafan THE Young University Rankings itu berfokuskan kepada 13 indikator berdasarkan misi teras sesebuah universiti iaitu pengajaran, penyelidikan, pemindahan ilmu serta pengantarabangsaan.

“Pencapaian ini membuktikan pendekatan konsep TUNAI (Technology @ University Advancing Industry and society) yang menjadi amalan UTeM memberi impak bukan hanya peringkat nasional malahan terus bersinar di persada global.

“Aspirasi ini terus melonjakkan momentum UTeM untuk terus berdaya maju dalam menjayakan kerjasama strategik pintar bersama pihak industri pelbagai sektor seluruh dunia yang menghasilkan pengembangan ilmu, penciptaan inovasi serta solusi kepada komuniti global," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Dalam pengumuman penarafan THE Young University Rankings pada 23 Jun lalu, UTeM disenaraikan pada kedudukan 401+ yang turut menyenaraikan 475 universiti dari 68 buah negara secara keseluruhannya.

UTeM turut tersenarai buat pertama kalinya pada tahun ini dalam penarafan lain iaitu THE World University Rankings pada kumpulan 1001+ serta THE Asia University Rankings pada kedudukan 401+ di samping berada dalam senarai 801-1000 penarafan THE Impact Rankings.

Dr Raha berkata, antara kelebihan yang menjadi tunjang kekuatan UTeM adalah penzahiran konsep pemindahan ilmu menerusi hubungan dan kolaborasi strategik antara UTeM bersama rangkaian industri peringkat global.

Artikel Berkaitan:

"Pencapaian ini terus menjadi pembakar semangat warga UTeM untuk terus dinamik dan komited menjana kejayaan berterusan di samping mencapai aspirasi Pelan Strategik 2021-2025: Seven Strategic Goals of UTeM (Tujuh Matlamat Strategik UTeM)," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: UTeM tersenarai antara universiti terbaik Asia