'Jangan jejas kualiti guru'

Syed Anuar
Syed Anuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan menolak cadangan melibatkan graduan bukan bidang pendidikan dalam pengambilan khas guru secara 'one-off' akan datang kecuali mereka diberikan kursus terlebih dahulu dengan modul khas seperti Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP).

Presidennya, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, mereka juga menolak pengambilan guru yang mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC) sebaliknya perlu mengikuti program sebagaimana dilaksanakan Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada siswazah bukan bidang pendidikan termasuk siswazah lepasan luar negara.

"Alumni GPMS faham dengan masalah kekurangan guru khasnya di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor namun tidak akan berkompromi dalam apa jua perkara yang boleh menjejaskan kualiti guru disebabkan tidak mendapat latihan dan pendedahan secukupnya sebelum melaksanakan pengajaran di bilik darjah.

"Apa sahaja keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) mestilah berpaksikan kepada usaha memastikan generasi pewaris diberikan pelajaran terbaik oleh guru-guru terbaik dan terlatih," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini mengumumkan KPM akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' membabitkan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41, bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara, terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Alumni GPMS turut menggesa KPM meningkatkan kemudahan prasarana pengajaran dan pembelajaran di samping mempercepat proses pengambilan pensyarah yang berkurangan di IPG bagi menampung pertambahan pelajar. - Bernama

Artikel Berkaitan: