Parlimen masih tunggu calon Ahli Dewan Negara baharu: Rais

Rais
Rais
A
A
A

SHAH ALAM - Parlimen sedang menunggu senarai calon Ahli Dewan Negara yang baharu bagi menggantikan beberapa ahli sedia ada yang bakal tamat perkhidmatan tidak lama lagi.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, di peringkat Persekutuan, nama calon akan dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Bagi negeri-negeri terlibat kita menunggu daripada mereka untuk mencalonkan nama yang sesuai.

"Selepas menerima dokumen, baru kita akan rasmikan keahlian baru atau isi kekosongan yang ditinggalkan sebelum ini, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, seramai 25 daripada 65 Ahli Dewan Negara mungkin tidak dapat menyertai sidang Parlimen secara hibrid kerana tempoh perkhidmatan mereka akan berakhir tidak lama lagi.

Jumlah itu meliputi 11 ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 daripadanya pula adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong yang kebanyakannya akan menamatkan khidmat pada Julai dan Ogos ini.

Bagaimanapun, jelas Rais, tarikh pelantikan Ahli Dewan Negara yang baharu masih belum dapat dipastikan, memandangkan ahli lama mempunyai tarikh tamat yang berbeza.

"Ada yang habis Julai, Ogos. Jadi kita kena tunggu senarai tersebut untuk ganti dengan anggota lain," katanya.

Artikel Berkaitan: