Sila log masuk terlebih dahulu.

Kampung Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 siap dibina

No Image Caption
A
A
A

BEIJING - Kampung Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 telah siap dibina dan diserahkan kepada Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada Sabtu.

Menurut Ketua Bahagian Pembinaan Stadium Kawasan Bandar Jabatan Projek Mega Beijing, Huang Hui, Kampung Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 yang terletak di selatan Pusat Sukan Olimpik Beijing, mempunyai 20 bangunan kediaman seluas 330,000 meter persegi dan terdiri zon kediaman dan zon pengelolaan.

Zon kediaman berfungsi menyediakan perkhidmatan logistik termasuk penginapan, makan minum dan perubatan kepada atlet serta pegawai kontinjen dari pelbagai negara dan kawasan.

Sebanyak kira-kira 2,338 buah katil disediakan sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, manakala 1,040 katil pula disediakan untuk Sukan Paralimpik Musim Sejuk di Beijing.

Zon pengelolaan pula berfungsi menyediakan perkhidmatan pendaftaran kontinjen, pejabat, kawalan keselamatan dan sebagainya dengan kemudahan serba lengkap.

Petugas projek tersebut dari Syarikat BIG (Beijing Investment Group), Qu Chen ketika memperkenalkan Kampung Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 itu berkata, binaan dan reka bentuknya berdasarkan konsep Sukan Olimpik Hijau dan piawaian peringkat emas WELL “bangunan sihat” untuk mewujudkan persekitaran selesa kepada atlet.

Selain itu, kelengkapan penapisan air digunakan untuk menawarkan air minuman yang bersih kepada penginap. Bahan pembinaan dan dekorasi yang terpilih mengikut piawaian tinggi untuk kegunaan projek terbabit bersifat mesra alam dan berfungsi mengurangkan kebisingan.

Sementara itu, kampung tersebut juga dilengkapi kemudahan tanpa halangan untuk memudahkan atlet Orang Kurang Upaya (OKU). -Bernama

Artikel Berkaitan: