X

Kindly register in order to view this article
!

277 pengusaha pelancongan Tasik Kenyir terima insentif RM118,100

Razali (kanan) menyerahkan replika cek sumbangan insentif secara 'one off' berjumlah RM188,100 kepada 277 pengusaha pelancongan di bawah Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir Terengganu pada Ahad.
A
A

HULU TERENGGANU - Seramai 277 pengusaha pelancongan di bawah Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir Terengganu menerima insentif sebanyak RM118,100 yang disalurkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) pada Ahad.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, insentif itu merupakan sumbangan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ketengah bagi fasa kedua untuk meringankan beban penggiat pelancongan yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Penyerahan insentif secara 'one off' ini merupakan fasa kedua di mana fasa pertama diberikan kepada pengusaha pelancongan untuk membaik pulih bot atau rumah rakit sebagai persediaan untuk memulakan perniagaan.

"Disebabkan tempoh pandemik berlarutan sejak lebih setahun lalu, kali ini kita berikan insentif kepada pengusaha bot dan pemandu yang semuanya terkesan akibat penularan pandemik ini.

"Jadi kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan ditanggung pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Mengulas lanjut, Razali berkata, insentif sebanyak RM500 seorang itu disalurkan kepada 175 penerima yang telah berkahwin manakala 102 lagi melibatkan penerima bujang mendapat sumbangan RM300 setiap seorang.

"Selain itu, sumbangan turut disalurkan kepada pengusaha bot, Shamsuddin Khalid, 45, yang kisahnya tular kerana keluarga berkenaan menginap di rumah bot uzur di Pengkalan Gawi, di sini setelah hilang punca pendapatan.

"Pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah meluluskan pemberian Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk Shamsuddin yang terletak di Kampung Basong, di sini," katanya.

Dalam pada itu, Razali turut menyuarakan harapan untuk melihat sektor pelancongan di negeri ini kembali pulih berikutan penurunan kadar kes Covid-19 yang direkodkan di negeri ini.

"Jika dilihat pada data kes harian Covid-19 di Terengganu kini di bawah 50 kes setip hari.

"Jadi kita harap selepas ini beberapa kelonggaran boleh dipertimbangkan kepada beberapa sektor utama seperti sektor pelancongan yang terjejas teruk ketika ini.

"Ia termasuk mempertimbangkan syarat dan keutamaan diberikan kepada individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin untuk berkunjung ke Terengganu," katanya.

Sebelum ini, Ketengah turut menyalurkan bantuan berjumlah RM152,700 kepada 86 orang pengusaha rumah bot bagi memulihkan sektor pelancongan yang terjejas pada Jun tahun lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!