Kulit ayam jadi lauk keluarga

Kerana kesempitan hidup juga memaksa Yusmaliana Yusuf mendapatkan ihsan kulit ayam untuk dijadikan lauk buat keluarga.
Kerana kesempitan hidup juga memaksa Yusmaliana Yusuf mendapatkan ihsan kulit ayam untuk dijadikan lauk buat keluarga.
A
A
A

KOTA BHARU- Membaca satu demi satu kisah kemanusiaan yang dipaparkan di pelbagai platform media tentu sekali mengundang sebak dalam kalangan sebilangan besar daripada kita.

Masakan tidak, setiap hari ada sahaja cerita golongan yang hilang pekerjaan sama ada dibuang atau syarikat tempat mencari rezeki ditutup kerana sudah tidak mampu menampung kos operasi.

Tidak kurang juga yang merintih meminta simpati kerana bukan sahaja tiada wang, bahkan beras segenggam pun tiada di rumah kerana segala simpanan habis dibelanja sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kerana kesempitan hidup juga memaksa Yusmaliana Yusuf mendapatkan ihsan kulit ayam untuk dijadikan lauk buat keluarga.

Hidangan kulit ayam sebagai lauk sudah menjadi kebiasaan bagi mereka sekeluarga.
Hidangan kulit ayam sebagai lauk sudah menjadi kebiasaan bagi mereka sekeluarga.

Bagi wanita berusia 34 tahun itu, dia tiada pilihan lain selain daripada terpaksa meminta bekalan itu daripada rakannya yang menjual ayam di sebuah kedai di Pulau Melaka, di sini.

Bahhkan, kata Yusmaliana, rasa malu juga dibuangnya ke tepi demi untuk memastikan lima orang anaknya yang berusia antara 10 bulan hingga 14 tahun itu tidak kelaparan.

Dalam masa sama, katanya, hidangan kulit ayam sebagai lauk sudah menjadi kebiasaan bagi mereka sekeluarga.

Artikel Berkaitan:

“Memandangkan PKP suami saya tidak dapat keluar bekerja kerana tidak dibenarkan, maka tiada upah untuk belanja kami. Saya terpaksa minta kulit ayam (untuk dijadikan lauk) kalau tidak anak saya nak makan apa?” katanya.

Suami Yusmaliana, Jamaluddin Salahuddin, 52, yang juga warganegara Indonesia merupakan seorang buruh binaan dan dibayar antara RM50 hingga RM60 sehari.

Sejak lima bulan lalu, Jamaluddin tidak diambil bekerja kerana pelaksanaan PKP menyebabkan keluarga itu tidak mempunyai punca pendapatan.

Kulit ayam seberat tiga kilogram yang diperoleh Yusmaliana itu, katanya, memadai digoreng atau dijadikan lauk sebagai bekalan beberapa hari untuk mereka sekeluarga.

“Kadang-kadang anak-anak ada juga bertanya kenapa asyik makan lauk kulit ayam sahaja. Bagaimanapun, Alhamdulillah anak-anak memahami kesulitan dan masalah kewangan yang dihadapi,” ujar Yusmaliana yang memberitahu jika ada rezeki, sesekali dia juga disedekahkan seekor ayam oleh rakannya itu.

Sementara itu, kesempitan hidup keluarga Yusmaliana sebetulnya sudah mendapat perhatian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Astro AWANI difahamkan, bantuan sebanyak RM650 setiap bulan disalurkan oleh JKM kepada keluarga itu bagi membiayai pendidikan anak-anak Yusmaliana.

Bukan hanya Yusmaliana, bahkan kepayahan hidup turut dilalui adiknya yang tinggal bersebelahan rumahnya.

Bahkan, keluarga adiknya itu juga, jelasnya, berkongsi kulit ayam yang sama sebagai lauk keluarga.

Menurut adik ipar Yusmaliana, Raja Shazila Raja Sanusi, sumber makanan buat dia sekeluarga juga sudah putus berikutan suaminya yang juga burun binaan hilang punca pendapatan akibat PKP.

Raja Shazila dan suaminya mempunyai dua orang anak berusia setahun dan enam tahun. - Awani

Kulit ayam jadi lauk keluarga Yusmaliana, JKM bantu ringankan beban