Covid-19: Thailand umum langkah pencegahan lebih ketat

Seorang warganegara menerima dos vaksin COVID-19 di Bangkok, Thailand. Foto Xinhua
Seorang warganegara menerima dos vaksin COVID-19 di Bangkok, Thailand. Foto Xinhua
A
A
A

BANGKOK - Thailand bakal melaksanakan langkah pencegahan lebih ketat termasuk larangan makan di restoran dan berkumpul lebih 20 orang, di Bangkok dan sembilan wilayah lain sekurang-kurangnya 30 hari untuk membendung wabak Covid-19.

Langkah pencegahan itu berkuat kuasa mulai Isnin (28 Jun) di Bangkok serta di lima wilayah berdekatan iaitu Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakan, Samut Sakhon dan Nakhon Pathom serta di empat wilayah selatan Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Yala.

Mulai Isnin, semua pusat beli-belah di wilayah berkenaan akan dibuka sehingga 9 malam dan aktiviti melibatkan perhimpunan lebih 20 orang tidak dibenarkan.

Selain itu, semua tapak pembinaan serta kem pekerja binaan di bandar dan wilayah terbabit akan ditutup, pekerja akan diasingkan sekurang-kurangnya untuk 30 hari.

Sehingga kini, Bangkok mempunyai 575 tapak pembinaan dengan kira-kira 81,000 pekerja. Sejak Mei lalu, terdapat sejumlah 38 kluster tapak dan kem pekerja binan.

Pihak berkuasa kesihatan berkata kurangnya kerjasama oleh pekerja migran di sektor pembinaan dan perkilangan menjadi punca kepada peningkatan kes Covid-19 kerana ramai pekerja menyusup keluar ketika kem mereka ditutup mencetuskan lebih banyak kluster dalam masyarakat.

Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatat 3,995 kes baharu Covid-19 dengan 42 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 244,447 dan 1,912 orang meninggal dunia.

Dalam satu kenyataan, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata kes baharu itu melibatkan 3,960 kes tempatan dan 35 kes import.

Artikel Berkaitan:

Kes kematian pula melibatkan 27 lelaki dan 15 wanita berusia antara 32 dan 93 tahun, termasuk warga Laos.

"Terdapat 43,607 pesakit masih dirawat di hospital, 1,725 dalam keadaan kritikal dan 489 bergantung kepada alat bantuan pernafasan," katanya.

Sehingga kini, di Bangkok terdapat 111 kluster termasuk di tapak pembinaan, kilang, pasar dan pusat beli-belah serta kawasan perumahan. - Bernama