224 ibu hamil di Perlis mula terima vaksin hari ini

Sebanyak 224 orang daripada kira-kira 10,000 ibu hamil di Perlis yang berdaftar dengan aplikasi MySejahtera mula menerima suntikan dos pertama vaksin. Gambar hiasan
Sebanyak 224 orang daripada kira-kira 10,000 ibu hamil di Perlis yang berdaftar dengan aplikasi MySejahtera mula menerima suntikan dos pertama vaksin. Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Sebanyak 224 orang daripada kira-kira 10,000 ibu hamil di Perlis yang berdaftar dengan aplikasi MySejahtera mula menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan 2020, Kangar pada Ahad.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, berbeza dengan kumpulan penerima vaksin biasa, ibu hamil berkenaan disediakan bilik khas untuk proses vaksinasi.

“Bagi fasa pertama di Perlis, sebanyak 10,000 orang ibu hamil akan menerima suntikan dos pertama dan saya difahamkan 106,000 orang ibu hamil di seluruh negara telah mendaftar di MySejahtera,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke PPV Dewan 2020 pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Kesihatan Keluarga Perlis Dr. Izwana Hamzah berkata hanya ibu hamil dengan usia kandungan 13 hingga 33 minggu sahaja dibenarkan menerima vaksin, manakala usia kandungan melebihi 33 minggu dinasihatkan untuk menerima vaksin selepas bersalin.

“Untuk yang telah mengambil dos pertama vaksin akan menerima dos kedua sebelum atau selepas bersalin,” katanya.

Seorang daripada ibu hamil yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 hari ini (Ahad), Norazeyan Abu Hassan, 33, berkata, dia membuat keputusan untuk menerima suntikan vaksin demi keselamatan bayi dan dirinya.

“Saya segera buat pendaftaran untuk mendapat vaksinasi apabila mendapat tahu kebaikan mengambil vaksin sebelum kelahiran,” katanya yang bekerja di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menurut Norazeyan, suami turut menyokong tindakannya itu demi keselamatan bayi sulung mereka.

Artikel Berkaitan:

Loo Huey Sze, 33, yang sependapat dengan Norazeyan mengenai pengambilan vaksin untuk ibu mengandung itu berkata dia yang mengikut suami menetap di Sungai Petani, Kedah, sanggup merentas negeri untuk mendapatkan vaksin lebih awal.

“Saya ambil vaksin awal kerana bimbang bayi yang bakal dilahirkan mempunyai risiko dijangkiti Covid-19. Jika ambil sekarang risikonya adalah lebih rendah dan atas faktor tersebut saya ambil vaksin ketika hamil demi keselamatan anak saya nanti,” katanya yang juga bakal menimang cahaya mata pertama. - Bernama