X

Kindly register in order to view this article
!

10 lelaki dicekup berjudi dalam kebun getah

Polis menyerbu 'port' judi dadu di kawasan kebun getah di Kampung Naga, Jitra kira-kira jam 10 malam pada Sabtu.
A
A

JITRA - 10 lelaki termasuk seorang warganegara Thailand yang sedang leka bermain judi jenis dadu di kawasan kebun getah di Kampung Naga, Jitra dicekup polis kira-kira jam 10 malam pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, operasi Op Dadu tersebut digerakkan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu selepas menerima maklumat awal.

Menurutnya, sembilan lelaki tempatan tersebut berasal dari Jitra dan Alor Setar manakala lelaki warganegara Thailand itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

"Semua individu yang ditahan berusia di antara 32 hingga 58 tahun.

"Enam orang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan kes jenayah dan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sehelai kain bertulis angka-angka yang digunakan untuk aktiviti judi dadu turut dirampas dalam serbuan di kawasan kebun getah di Kampung Naga, Jitra kira-kira jam 10 malam pada Sabtu.
Sehelai kain bertulis angka-angka yang digunakan untuk aktiviti judi dadu turut dirampas dalam serbuan di kawasan kebun getah di Kampung Naga, Jitra kira-kira jam 10 malam pada Sabtu.

Rodzi berkata, sejumlah wang tunai RM27,860 yang digunakan dalam aktiviti perjudian itu turut dirampas termasuk satu meja kayu, sehelai kain bertulis angka-angka, satu cawan seramik, satu piring seramik, lapan kerusi plastik, tiga biji buah dadu dan satu lampu suluh.

Menurutnya, semua tangkapan telah ditahan reman selama dua hari mulai Ahad untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (PPDPPB) 2021," katanya.

Tambahnya, semua tangkapan juga dikompaun RM4,000 setiap seorang bagi kesalahan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!