Johor tambah baik pelaksanaan ibadah korban

Torsin (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Nur Aini di rumahnya di Simpang Renggam pada Ahad.
Torsin (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Nur Aini di rumahnya di Simpang Renggam pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Ibadah korban di Johor tahun ini akan ditambah baik dengan membenarkan aktiviti melapah dan mengagihkan daging korban dilakukan di lokasi lain selain pusat penyembelihan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor ( MAIJ) pada Ahad dan akan dibawa dalam Mesyuarat Penuh Kerajaan Negeri.

Katanya, Pejabat Mufti Johor akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu selepas Mesyuarat Penuh Kerajaan Negeri pada Rabu ini.

"Selepas dibincangkan dalam mesyuarat MAIJ pagi Ahad, atas rayuan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, MAIJ telah membuat keputusan untuk meminda garis panduan ibadah korban pada tahun ini.

"Bagaimanapun, perkara itu perlu dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Daerah di kawasan itu. Selain itu peraturan terdahulu yang tidak membenarkan sebarang aktiviti urusan ibadah korban di masjid dan surau dikekalkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang memperoleh Mumtaz Sufi, Nur Aini Norazmi, 19 di Simpang Renggam di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin.

Tambah Tosrin, individu yang bernazar dan mereka pertama kali menunaikan ibadah korban boleh melakukannya pada tahun ini selepas tidak dibenarkan tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu pada 19 Jun lalu MAIJ memaklumkan pelaksanaan ibadah korban hanya dilaksanakan di rumah sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar daerah.

Bagi pelaksanaan ibadah korban tahun ini, pusat penyembelihan yang berdaftar sebanyak 115 rumah sembelih sementara di negeri ini, 12 pemegang lesen swasta rumah penyembelihan (ruminan), lima rumah sembelih swasta sementara dan 10 Pejabat Perkhidmatan Veterinar di setiap daerah.