Sidang Parlimen secara hibrid belum diputuskan

Takiyuddin (kanan) bertanya khabar seorang warga emas ketika melakukan tinjauan di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Kota Bharu pada Ahad.
Takiyuddin (kanan) bertanya khabar seorang warga emas ketika melakukan tinjauan di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan masih belum membuat sebarang ketetapan untuk melaksanakan sidang Parlimen secara hibrid atau bersemuka sebagaimana desakan sesetengah pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kaedah tersebut masih lagi di peringkat cadangan dan perkara itu akan diputuskan oleh Perdana Menteri selepas mendapat pandangan Peguam Negara.

"Di bawah Ordinan Darurat, Parlimen tidak boleh bersidang, ia akan diberikan notis selepas Proklamasi Darurat di tamatkan, barulah boleh dikeluarkan notis, kalau sekiranya Parlimen hendak bersidang," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini pada Ahad.

Menurutnya, selepas 1 Ogos nanti baharulah undang-undang yang berkaitan memanggil Parlimen berkuatkuasa semula.

Beliau berkata, Perdana Menteri seterusnya akan memaklumkan perkara tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Takiyuddin menjelaskan, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengeluarkan notis kepada Ahli-ahli Parlimen dalam tempoh 28 hari sebelum Parlimen bersidang sebagaimana ditetapkan dalam peraturan.

Katanya, sidang Parlimen secara hibrid adalah satu pilihan sekiranya ia tidak boleh diadakan secara fizikal.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, hibrid merujuk kepada sebahagian persidangan dilakukan secara fizikal dalam jumlah tertentu dan selebihnya hadir secara maya.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini banyak perkara termasuklah mesyuarat kabinet diadakan dalam talian.

"Jadi, pihak Parlimen yang mencadangkan pada kerajaan kalau tidak boleh dibuat secara fizikal dan jika kerajaan putuskan untuk mengadakan parlimen juga pilihannya adalah hibrid," katanya.