'Benarkan kami berniaga, buka semula pasar malam'

Peniaga dan penjaja berharap kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan pembukaan pasar malam walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung semula. Gambar hiasan - Foto Bernama
Peniaga dan penjaja berharap kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan pembukaan pasar malam walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung semula. Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Peniaga dan penjaja berharap kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan pembukaan pasar malam walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung semula.

Seorang peniaga, Abdul Rahman Arshad, 48, kehidupan golongan itu terus tertekan apabila banyak tempat perniagaan ditutup terutama pasar malam.

Jelasnya, walaupun Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membenarkan mereka berniaga di tepi jalan menggunakan lesen perniagaan sementara tetapi jumlah jualan agak rendah berbanding di pasar malam.

Azizul Kama (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada peniaga yang terjejas pada Program Kongsi Rezeki secara pandu lalu di perkarangan Masjid Jamek Medan Klebang Restu, di sini pada Ahad.
Azizul Kama (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada peniaga yang terjejas pada Program Kongsi Rezeki secara pandu lalu di perkarangan Masjid Jamek Medan Klebang Restu, di sini pada Ahad.

"Peniaga seperti saya sangat berharap dapat kembali berniaga seperti biasa di pasar malam kerana kini jualan kami merosot teruk.

"Nasib baik saya tidak banyak hutang, cuma pinjaman rumah sahaja tetapi rakan-rakan lain yang dalam keadaan sukar kerana perlu menjelaskan hutang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Kongsi Rezeki di perkarangan Masjid Jamek Medan Klebang Restu, di sini pada Ahad.

Program itu anjuran bersama Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Brotherhood Ventures.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Pasar Malam Medan Klebang Restu, Mohd Khair Napiah berkata, terdapat lebih 100 peniaga pasar malam yang kebanyakan terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Hulu Kinta sejak 22 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan kelonggaran untuk golongan tersebut memperoleh pendapatan melalui pembukaan semula pasar malam.

Katanya, jawatankuasa penganjur akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang tempoh itu jika pasar malam dibuka.

"Kita memang simpati dengan golongan peniaga ini. Saya bersama pengurusan Masjid Jamek Medan Klebang Restu mencari jalan membantu mereka mendapatkan sumbangan.

"Peniaga yang berdepan kesukaran dalam tempoh pandemik ini boleh berhubung dengan saya atau pihak masjid untuk kita sama-sama bantu. Kita turut meletakkan tabung sumbangan di beberapa lokasi untuk orang ramai menyumbang," katanya.

Dalam pada itu, Azizul Kama yang ditemui berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kempen MBI Prihatin bagi membantu mereka yang memerlukan khususnya di kawasan Zon 5 meliputi Meru, Meru Raya dan Klebang.

Katanya, kira-kira 45 peniaga di sekitar kariah Masjid Jamek Medan Klebang Restu menerima sumbangan termasuk kotak makanan, sayuran dan ikan.

Beliau berkata, pengagihan barangan dilakukan dalam suasana normal baharu dengan pematuhan SOP ketat secara pandu lalu.