Tiga perkara kritikal perlu diurus segera

Kenyataan media Mohamed Khaled pada Ahad.
Kenyataan media Mohamed Khaled pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa kerajaan menambah bantuan tunai atau sara hidup kepada rakyat yang terkesan ekoran pelanjutan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Beliau berkata, ia menjadi antara tiga perkara kritikal yang perlu dilaksanakan segera kerajaan kerana ramai rakyat yang sedang tertekan ketika ini dan mereka perlu diberi perhatian.

"Kedua, uruskan negeri dan kawasan yang mempunyai kes Covid-19 yang rendah dengan cara berbeza.

"PKP seluruh negara hanyalah jalan keluar yang culas, pukul rata dan menghukum semua pihak secara tidak adil," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad dilaporkan berkata, fasa pertama kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijadual berakhir esok tidak akan ditamatkan malah diteruskan mungkin hingga pertengahan Julai ini.

ARTIKEL BERKAITAN Fasa pertama Pelan Pemulihan Negara diteruskan: Muhyiddin

Beliau berkata, fasa pertama itu akan dilanjutkan memandangkan jumlah kes Covid-19 di negara ini belum mencapai nilai ambang bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan sebelum dapat beralih ke fasa seterusnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khalid berkata, perkara ketiga adalah kerajaan perlu menyemak dan memantau kilang-kilang serta sektor yang menjadi penyumbang besar kes harian Covid-19.

"Mereka ini yang perlu difokuskan dengan tegas. Bukannya dengan terus mengurung seluruh negara," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, PKP yang terus disambung itu memang sudah dijangkakan kerana kes harian direkodkan di negara ini bagi setiap juta penduduk adalah antara tertinggi di dunia dan berada pada angka menakutkan.

"Perkara itu semua kita tahu dan sedar dan kita tidak mempertikaikannya. Yang kita persoalkan adalah sampai bila kita harus berada dalam PKP dan ‘kuncitara’ separa masak seperti ini?

"Punca utama penularan kes, bukan rakyat yang tidak patuh dan degil. Kluster harian daripada masyarakat awam adalah minimum. Namun, semua rakyat dikerah berkurung dengan tegas, diminta bersabar dan terus bersabar," soal beliau.

Mohamed Khaled menegaskan, data menunjukkan kilang-kilang dan sektor industri yang menjadi penyumbang utama peningkatan kes.

Bagaimanapun, katanya, golongan itulah menjadi anak-anak emas yang mendapat banyak kelonggaran dan dibenarkan beroperasi seperti sediakala.

"Keadaan ini tidak ubah seperti meletakkan ubat pada tempat yang tidak pun sakit. Sedangkan bahagian yang luka tidak pula dirawat.

"Jawabnya sampai ke sudah situasi dalam negara tidak akan ‘sihat’ dan sembuh. Jika ini pendekatan yang dikekalkan, sampai tamat tempoh darurat nanti pun belum tentu keadaan akan bertambah baik," katanya.

Berikutan itu, beliau turut mendesak agar kerajaan membuat pembaharuan dan penambahbaikan yang radikal semasa PKP yang disambung sekarang.

Katanya, ia juga memandangkan simpanan vaksin hampir habis dan bekalan baharu tidak diketahui bila akan tiba.

"Berhentilah melihat dan menguruskan pandemik ini dalam jangka 14 hari. Berfikirlah lebih panjang dan kritikal," katanya.