Barangan keperluan asas di Jerantut cukup

Pengguna tidak perlu risau kerana bekalan barangan keperluan asas di Jerantut mencukupi. - Gambar hiasan
Pengguna tidak perlu risau kerana bekalan barangan keperluan asas di Jerantut mencukupi. - Gambar hiasan
A
A
A

JERANTUT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Koperasi (KPDNHEP) Cawangan Jerantut memberi jaminan bekalan barang keperluan asas di daerah itu mencukupi berikutan bandar Jerantut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin hingga 11 Julai ini.

Ketua Cawangannya, Abdul Mubin Ahmad berkata, bekalan barangan mudah diperoleh di seluruh pasar raya, pasar mini, pasar tani dan kedai kedai runcit kecil kerana premis-premis tersebut beroperasi seperti biasa.

Menurutnya, selain itu bekalan barangan di peringkat pemborong, pengilang dan peruncit adalah mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

"Jadi pengguna tidak perlu risau kerana semua pasar raya dan premis peruncitan masih dibuka dan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan kerajaan.

"Namun KPDNHEP menggalakkan pihak peniaga, pasar raya dan peruncit supaya melakukan kawalan kendiri dengan menentukan had kuantiti serta jualan barangan yang bersesuaian bagi individu atau keluarga untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi selain hanya membenarkan seorang sahaja wakil keluarga membeli barangan keperluan," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Abdul Mubin berkata, KPDNHEP Jerantut sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan secara harian di premis perniagaan meliputi peruncit dan pemborong untuk memastikan bekalan barangan mencukupi selain pematuhan peraturan dalam kalangan peniaga.

"Peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan seperti mengaut keuntungan tidak munasabah dengan menaikkan harga, mempamerkan harga mengelirukan, menyorok barang kawalan serta menipu timbangan semasa PKPD.

"Sebarang aduan atau pertanyaan mengenai bekalan keperluan asas, harga barangan dan perkhidmatan berkaitan yang lain bolehlah menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Cawangan Jerantut di talian 09-2601374," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sehingga 26 Jun, bandar Jerantut mencatatkan 186 kes positif dalam tempoh 15 hari selepas 421 penduduk menjalani ujian saringan.