Lelaki maut, rakan parah kereta rempuh penghadang jalan

Keadaan kereta Suzuki Swift yang terbabit dalam kemalangan selepas merempuh besi jalan di KM 47 Jalan Klang - Teluk Intan di sini pada awal pagi Ahad.
Keadaan kereta Suzuki Swift yang terbabit dalam kemalangan selepas merempuh besi jalan di KM 47 Jalan Klang - Teluk Intan di sini pada awal pagi Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah apabila kereta jenis Suzuki Swift dipandunya merempuh besi jalan di kilometer (KM) 47 Jalan Klang - Teluk Intan di sini pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian pada jam 12.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Ng Zhen Long, 21, yang beralamat di Taman Bendahara di sini maut di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga pemandu kenderaan bersama rakannya dari Pasir Penambang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Kuala Selangor.

"Sejurus tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan semasa melalui selekoh tajam.

"Kenderaan terbabit disyaki terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang besi jalan pada bahagian hadapan kiri kenderaan," katanya di sini pada Ahad.

Beliau berkata akibat kejadian itu, kenderaan terbabit terbalik dan terseret sejauh 30 meter.

Katanya, mangsa yang maut kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat.

"Penumpang kenderaan turut dikejarkan ke hospital sama selepas mengalami cedera parah apabila mengalami retak tulang kepala, putus dua jari tangan kiri dan lain-lain kecederaan yang belum dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.